Sorting by

×

Semakin ramai anggota komuniti pertikai adat Melayu

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PANTAI KUNDOR 18 Feb. – Persatuan Pengamal Adat Melayu Sidang Negeri Melaka memandang serius semakin ramai anggota komuniti Melayu enggan mempraktikkan adat bangsa.

Yang Dipertuanya, Tok Sidang Muslihin Mohamad berkata, jumlah mereka semakin meningkat dari semasa ke semasa dengan alasan kehidupan pada zaman siber sekarang tidak memerlukan adat Melayu.

Keengganan itu bukan setakat dalam majlis perkahwinan, malah majlis keramaian meraikan sesuatu yang lazimnya dimulakan dengan adat istiadat tertentu

Muslihin menegaskan, cabaran itu dari semasa ke semasa mengikis adat orang Melayu yang diwarisi dari nenek moyang sebelum ini.

“Ada orang Melayu kata apa guna kita ikut adat yang mengarut sedangkan kita sekarang hidup dalam zaman siber?

“Mereka kata kita tidak perlukan lagi adat yang tidak berfaedah, cukup sekadar kita ikut Islamik,” katanya ketika memberi taklimat kepada 12 Tok Sidang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling di sini hari ini.

Nor Azman memakaikan tanjak pada Tok Sidang Mohd Jefree Kahar pada majlis penganugerahan tauliah kepada 12 Tok Sidang dalam DUN Pantai Kundor di Dewan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung
Kling.

Ia sempena penganugerahan tauliah kepada 12 Tok Sidang berkenaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Beliau berkata, sebagai contoh adat menepung tawar pengantin sekarang bukan setakat dikritik, malah dicela golongan tertentu dengan mendakwa ia membazir rezeki anugerah Allah.

“Beras pulut yang dilemparkan kepada pengantin itu sudah dibacakan ayat suci al-Quran bagi menghalang makhluk halus yang dihantar pihak tidak bertanggungjawab untuk memudaratkan pasangan pengantin.

“Segenggam beras pulut itu kalau dimakan seekor ayam pun, tidak boleh kenyang, lainlah halnya kalau beras pulut yang dilemparkan itu sampai satu atau dua kilogram,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Tok Sidang berkenaan mengenai fungsi mereka sebagai ketua penyelenggara adat istiadat Melayu yang diistilahkan sebagai ‘Lubuk Ilmu, Lautan Budi.’

“Tok Sidang juga harus berpegang kuat pada istilah ‘Adat bersendikan hukum, Hukum bersendikan kitabullah,’ iaitu kebiasaan dalam kehidupan yang menjadi hukum,” katanya.

Views:

2392
Kongsi :
Previous post Melaka perkenal 6 hentian Bas Singgah-singgah
Next post Kegiatan lombong mata wang kripto punca SEB rugi RM4.3 juta di Miri
Ubah saiz-+=