Sorting by

×

SEMAKIN RAMAI AMAL KITAR SEMULA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 24 November – Hampir 45 tan jumlah barangan kitar semula di Pusat Pandu Lalu KITARecycle (PPLK) di Taman Botanikal Melaka berjaya dikutip dari tempoh Jun 2023 hingga September 2024.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata jumlah itu menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula semakin meningkat.

Katanya, selain PPLK, menerusi kios-kios barangan kitar semula juga turut mendapat sambutan memberangsangkan.

“Sejak KITARecycle dilancarkan pada tahun 2018 hingga September 2024, bilangan ahli di negeri ini telah menjangkau seramai 15,251 orang.

“Dalam tempoh sama juga, jumlah kutipan barangan kitar semula di negeri ini telah mencecah 439.104 tan.

“Kita dapat lihat dari segi data pendaftaran pengguna KITARecycle dari semasa ke semasa meningkat dan berat ataupun jumlah barang yang dihantar itu pun kita nampak ada peningkatan dalam sistem kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Pusat Pandu Lalu Kitar Semula di TS Park, Taman Desa Bertam di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Operasi SWM Environment Wilayah Melaka dan Johor Utara, Khaw Su Aun; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat SWM Environment Melaka dan Negeri Sembilan, Nurul Liza Mohd Najib dan Pengurus Kewangan Teladan Group Berhad, Ng Mih Fern.

Mengulas lanjut Mohd Norlisam berkata, SWM Environment mahu mewujudkan lebih banyak kemudahan kios kitar semula dan PPLK di taman-taman perumahan di negeri ini bagi memastikan kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula terus meningkat.

“Langkah ini diharap sebagai antara usaha kearah meningkatkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan kepada 40 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post SUNGAI RAMBAI DAPAT KLINIK KESIHATAN BAHARU
Next post GENG RXZ BOLEH BERGAMBAR DI 6 LOKASI ‘INSTAWORTHY’ SEKITAR JASIN – MPJ
Ubah saiz-+=