Semakan tawaran ke MRSM mulai Rabu
PUTRAJAYA, 8 Mac – Semakan tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi Tingkatan Satu dan Empat sesi 2022, boleh dibuat bermula Rabu ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata calon yang berjaya ditawarkan ke MRSM akan menerima notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang didaftarkan semasa permohonan.
“Pemohon juga boleh membuat semakan menerusi portal rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA) di www.mara.gov.my. dan makluman terkini berkenaan tawaran juga boleh didapati melalui media sosial MARA seperti Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya dalam kenyataan.
Mahdzir berkata calon yang berjaya perlu membuat pengesahan penerimaan tawaran kemasukan ke MRSM dalam tempoh tujuh hari menerusi pautan dalam portal berkenaan dan sekiranya calon tidak membuat pengesahan penerimaan dalam tempoh tersebut, tawaran berkenaan dianggap terbatal.
“Calon yang tidak berjaya masih boleh membuat rayuan secara dalam talian di pautan yang sama bermula 9 hingga 16 Mac ini dan tidak perlu hadir secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata sebarang pertukaran program dan penempatan MRSM adalah tidak dibenarkan dan sekiranya pemohon tidak menerima sebarang makluman tawaran sehingga 31 Mei 2022, permohonan adalah dianggap tidak berjaya.
Katanya MARA kekal dengan dasar 60 peratus pengambilan pelajar daripada keluarga B40 selain keutamaan kepada calon luar bandar dan miskin bandar.
Mahdzir berkata pada tahun ini MARA menerima 74,500 permohonan ke Tingkatan Satu dan Empat MRSM, dengan kapasiti kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu seramai 7,949 orang dan Tingkatan Empat 1,930 orang.
MRSM menawarkan enam program iaitu MRSM International General Certificate of Secondary Education (IGCSE), MRSM International Baccalaureate-Middle Year Programme (IB-MYP), MRSM Ulul Albab, MRSM Program Bitara, MRSM Premier dan MRSM Teknikal di bawah Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.