Semakan status bintang hotel Melaka selesai hujung tahun ini
AYER KEROH 8 Mei – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengeluarkan borang kaji selidik untuk menilai semula status semua taraf hotel di negeri ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, borang kaji selidik tersebut bagi melihat fasiliti dan perkhidmatan hotel-hotel yang didapati tidak wajar dengan status dimiliki.
Katanya, usaha menyemak semula status semua taraf hotel di negeri ini akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
“Sebagai Persiapan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), bintang-bintang yang dimiliki hotel-hotel di negeri ini akan disemak semula sebagai usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.
“Bagaimanapun, menerusi usaha ini, tidak semua hotel akan turun bintang mereka, begitu juga sebaliknya, ia bergantung kepada fasiliti dan servis yang disediakan kepada pelanggan.
“Akan ada hotel bintangnya jatuh, akan ada hotel bintangnya meningkat, itu semua menerusi penelitian yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Melaka Menandatangani Kerjasama Pelancongan Bersama Agensi Pelancongan Dari Timur Tengah di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Kota Cemerlang di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar BPP, Sa’ari Basiron dan Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin.
Mengulas lanjut, Abdul Razak penilaian semula status bintang itu bukan disebabkan menerima aduan daripada pelancong, sebaliknya ia bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan.
“Kita bukan membuat semakan ini berdasarkan aduan pelanggan, dan setakat ini pihak kita tidak menerima sebarang aduan, cuma kita mahu memberikan yang terbaik kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.