Sorting by

×

Selesaikan segera atau henti operasi

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 19 Nov. – Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras kepada syarikat arang batu di sebuah pelabuhan di Tanjung Kling sekiranya masalah pencemaran habuk terus berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, pihaknya sudah mengarahkan pihak terbabit untuk segera mencari jalan mengurangkan habuk yang berterbangan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya keadaan tidak berubah dan semakin teruk, pihaknya sedia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut atau mengambil tindakan lebih keras termasuk menyaman syarikat terbabit.

“Kalau dalam masa terdekat dia tidak boleh selesaikan masalah dan orang ramai terus membuat aduan, kita terpaksa bertindak. Maksudnya bertindak sama ada hentikan operasi itu atau saman syarikat berkenaan.

“Kalau nak berniaga, nak cari untung, janganlah sampai jejaskan orang lain terutama penduduk sekitar. Kalau rasa tak boleh ikut kehendak atau keperluan orang ramai, tak usahlah berniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap masalah habuk arang batu di laman sosialnya ekoran penduduk setempat mendakwa masalah yang dihadapi sejak sekian lama itu masih berlarutan sehingga kini.

Beliau yang meninjau sendiri keadaan di Kampung Balik Bukit mengakui lori-lori yang membawa muatan habuk arang batu itu masih gagal mengawal masalah berkenaan meskipun sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan sebelum ini.

Views:

357
Kongsi :
Previous post PPAD Alor Gajah terima sumbangan peralatan operasi
Next post Produk sanitasi perlu tepati kriteria KKM
Ubah saiz-+=