Selesai isu rakyat dahulu jika diberi mandat – Abdul Hakim
KUALA LINGGI 17 November – Tidak mahu menabur janji manis sebaliknya Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid berazam untuk mengambil tindakan segera menyelesaikan isu rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata, pelbagai aduan dan rungutan membabitkan infastaruktur serta pembangunan masyarakat setempat dalam tempoh 12 hari beliau turun berkempen.
“Saya tidak mahu menyebut banyak aspek dalam pembangunan (baharu) yang perlu dibangunkan kerana yang ada ini perlu diselesaikan dulu.
“Tidak perlu janji manis lebih daripada itu, apa yang penting adalah membantu rakyat setempat supaya menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dalam Parlimen Masjid Tanah.
“Sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya akan teliti semula dan laksanakan tugas sehabis baik untuk memastikan isu yang diterima ada tindakan diambil dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni nelayan di Tanjung Dahan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata sepanjang tempoh itu masih ada baki kira-kira 20 peratus pengundi di Parlimen itu yang belum ditemui berikutan kebanyakan mereka berada di luar kawasan terbabit.
“Pada hari-hari terakhir sebelum hari mengundi ini, tidak mungkin saya boleh bertemu dengan semua lebih kurang 69,000 pengundi (yang belum ditemui) itu namun saya mengharapkan walaupun tidak sempat berjumpa kerana mereka berada di luar kawasan, mereka menyokong BN.
“BN mempunyai ‘track record’ tersendiri, ada sejarah untuk membina bangsa dan lebih penting BN menjamin kestabilan dan kemakmuran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.