SELEPAS TIGA TAHUN BANJIR LAGI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BEMBAN 9 Oktober – Penduduk Kampung Parit Lampong dan Kampung Tanjong Laboh, menyifatkan banjir melanda penempatan mereka sebagai perkara mengejutkan berikutan sudah tiga tahun berturut-turut kawasan itu tidak mengalami bencana berkenaan.

Mangsa banjir Zunah Y. Abdul Jaapar, 37, berkata, akibat kediaman mereka dinaiki Air dalam kejadian Ahad lalu, dia bersama suami dan lima anak terpaksa berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel.

Menurut Zunah, selepas Kerajaan Negeri melakukan kerja mendalamkan Sungai Tehel, penduduk dapat menarik nafas lega kerana selama tiga tahun penempatan mereka tidak mengalami banjir.

“Namun tiba-tiba banjir berulang dan kali ini disifatkan sebagai antara yang paling teruk. Kira-kira jam 11 malam Ahad air mula masuk ke dalam rumah.

“Keadaan berbahaya ketika itu kerana paras air naik agak tinggi, jadi kami sekeluarga ambil keputusan untuk bermalam di rumah saudara sebelum pindah ke PPS,” katanya kepada Melaka Hari ini ketika ditemui di PPS SK Tehel.

Berikutan itu, Zunah berharap Kerajaan Negeri melaksanakan semula projek untuk mendalamkan Sungai Tehel selain menyelenggara sistem perparitan dan longkang di kawasan itu.

Dia yang hamil 21 minggu berkata, meskipun tidak selesa seperti di rumah sendiri, segala kemudahan disediakan di PPS dianggap sebagai amat mencukupi untuk kegunaan semua mangsa banjir.

“Bagi kami mangsa banjir ini berpindah ke PPS sudah biasa jika tidak berpindah risau keselamatan anak-anak kerana takut binatang berbisa masuk ke dalam rumah.

“Menariknya di PPS ini untuk ibu mengandung seperti saya tidak perlu risau kerana ada pegawai perubatan bertugas, kami akan diminta untuk membuat pemeriksaan kesihatan pagi dan petang,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 20 mangsa terdiri daripada lima keluarga masih berada di PPS SK Tehel.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

94
Kongsi :
Previous post WTD 2025 BAWA DUNIA KE MELAKA
Next post ‘BOLEH TUNTUT MYKID, BEKALAN SUDAH ADA’
Ubah saiz-+=