Selaraskan pengharaman jual telur penyu

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 1 Okt. – Semua negeri di Semenanjung akan mengharamkan penjualan telur penyu untuk komersial apabila enakmen mengenainya di negeri masing-masing dipinda.

Enakmen pengharaman penjualan telur penyu itu akan diselaraskan bagi mengelakkan kepupusan penyu yang kini dikategorikan sebagai amat serius.

Ia dibuat hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Terengganu dengan semua Jabatan Perikanan negeri di Semenanjung bertujuan memastikan kelestarian haiwan marin itu.

Ini kerana masih ada beberapa negeri di Semenanjung yang masih membenarkan penjualan telur penyu untuk tujuan komersial berikutan enakmen mengenainya yang dibuat pada tahun 1960-an masih belum dipinda hingga sekarang.

Pengarah institut itu Sharum Yusof berkata, institut berkenaan sudah mengadakan perbincangan dengan pengarah jabatan berkenaan di Semenanjung beberapa minggu lalu dan bersetuju supaya enakmen mengenai penjualan telur penyu di negeri
masing-masing dipinda.

“Bukan semua negeri ada mencatatkan penyu mendarat untuk bertelur dan bukan semua negeri yang ada mencatatkan pendaratan penyu, mempunyai enakmen mengharamkan penjualan telur penyu.

“Jabatan Perikanan negeri bersetuju untuk membawa kepada kerajaan negeri masing-masing supaya enakmen itu dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dipinda,” katanya.

Beliau ditemui selepas program penghargaan kepada syarikat swasta yang terbabit dalam aktiviti konservasi penyu dan pelepasan penyu yang dipasang peranti ‘platform trasmitter terminal’ (PTT) di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, Masjid Tanah dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka Fauzi Solehan dan wakil lima syarikat swasta yang terbabit dalam usaha berkenaan.

Sebanyak 500 anak penyu yang baru menetas dan tiga penyu karah betina berusia lima tahun, termasuk seekor yang dipasang PTT telah dilepaskan ke laut Selat Melaka.

PTT yang bernilai RM20,000 dan menggunakan teknologi satelit dari Amerika Syarikat itu disumbangkan syarikat SunPower Malaysia Manufacturing Sdn. Bhd., yang terbabit dalam pembuatan produk tenaga solar yang berpangkalan di bandar ini.

Sharum berkata, Terengganu adalah antara negeri yang masih belum meminda Enakmen Penyu Negeri berkenaan yang menyebabkan usaha membanteras penjualan telur penyu kurang berkesan.

Sementara itu Fauzi berkata, Enakmen Penyu Negeri Melaka sudah dipinda beberapa tahun lalu, yang memberi kuasa kepada Jabatan Perikanan Melaka mengambil tindakan terhadap sesiapa yang terbabit dalam aktiviti penjualan telur penyu bagi tujuan komersial.

Views:

762
Kongsi :
Previous post ‘Centralized big data’ peroleh maklumat benar – BTMK
Next post BTMK pastikan agensi, jabatan kerajaan negeri terima manfaat
Ubah saiz-+=