Selamba jual rokok seludup bawah khemah di tepi jalan
KRUBONG 26 Mei – Lain yang dicari lain pula yang dijumpa.
Itu nasib malang menimpa seorang pemuda yang ditahan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri setelah dipercayai menjual rokok seludup di bawah khemah di tepi jalan dalam Op Pemantauan SOP PKP 3.0 di sini petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata, kesalahan dilakukan suspek lelaki berusia 22 tahun itu dikesan di Jalan Krubong Jaya 2 di sini kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis berpakaian preman.
“Ketika pemantauan, polis terlihat khemah pemuda beroperasi dalam keadaan mencurigakan sebelum berhenti dan melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan di rak dan kotak yang bertutup menjumpai 24 karton rokok kontraband iaitu rokok tidak bercukai yang kesemuanya adalah rokok putih.
“Soal siasat awal pemuda terbabit mengaku baharu seminggu berniaga di situ dan sebelum ini menjual buah juga di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, susulan itu polis merampas sebanyak 6,344 batang rokok dengan anggaran nilai RM3,000 selain turut merampas wang tunai berjumlah RM400 dipercayai hasil daripada jualan rokok terbabit.
“Lelaki itu kemudian ditahan dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat di Mahkamah Ayer Keroh esok
di bawah Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) akta sama.
Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, Op Pemantauan SOP PKP 3.0 hari ini merupakan operasi pematuhan bagi memantau prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
“Operasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu membabitkan kekuatan 10 pegawai dan 27 anggota tanpa uniform di seluruh negeri Melaka.
“Bagaimanapun sepanjang pemantauan dijalankan kesemua masyarakat dilihat mematuhi SOP yang diperketatkan dan tiada tindakan kompaun telah dikeluarkan setakat ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.