Sorting by

×

Selamba hisap rokok di kedai makan, lapan lelaki dikompaun

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 10 Dis – Sekumpulan lelaki yang sedang leka menghembus asap rokok di sebuah kedai makan di Bukit Beruang terkejut apabila disergah penguat kuasa kesihatan dalam satu operasi mengejut malam tadi.

Serbuan itu turut menyaksikan seorang lelaki melenting dan menyuarakan ketidakpuasan hati kerana dikompaun, selain memarahi petugas media apabila gambarnya dirakam.

Bagaimanapun situasi terkawal apabila Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tetap bertindak tegas mengeluarkan kompaun di atas kesalahan tersebut.

Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun larangan merokok di kedai makan telah dikuatkuasakan sejak dua tahun lalu, namun masih terdapat ramai yang tidak patuh dengan arahan itu.

Menurutnya, sejak 18 Mac 2020 hingga 7 Disember lalu, sebanyak 303 kompaun dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan membabitkan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dengan nilai RM63,600.

“Kita sangat kesal kerana masih ramai yang enggan mematuhi arahan ditetapkan iaitu tidak merokok di tempat yang tidak dibenarkan terutamanya kedai makan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tidak akan bertolak ansur dalam ketidakpatuhan SOP di mana orang awam yang makan di premis makanan ini tidak dibenarkan sama sekali untuk merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Operasi Khas Penguatkuasaan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di sekitar Ayer Keroh, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, dalam operasi malam tadi, sebanyak 24 premis telah diperiksa dan lapan kompaun dikeluarkan di atas kesalahan merokok di kawasan larangan merokok.

Selain itu, katanya, masing-masing satu kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik premis di atas kesalahan kegagalan memaparkan tanda larangan merokok dan gagal memastikan tiada seorang merokok di dalam premis atau kenderaan.

“Bagi kompaun merokok di premis makanan, RM42,455 telah dibayar oleh pesalah dan tindakan itu diambil di bawah PPKHT 2004.

“Lebih 30,084 premis pelbagai sektor ekonomi di seluruh Melaka telah diperiksa bermula 18 Mac 2020 hingga Selasa lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1298
Kongsi :
Previous post 97.2 peratus populasi dewasa lengkap divaksin
Next post Lupa ‘scan’ MySejahtera, pelancong ke Melaka dikompaun
Ubah saiz-+=