Sorting by

×

Selamatkan anak sawan

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 Nov. – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit sawan berjaya dielakkan anggota keluarganya daripada menghadapi risiko lemas jika diserang sawan ketika kediaman mereka dinaiki air.

Ahmad Mustakim Zainal, 29, dibawa berpindah oleh anggota keluarganya selepas kediaman mereka dinaiki air di Kampung Pulau, di sini awal pagi tadi.

Ibunya, Saidah Majid, 50, berkata setiap kali banjir, beliau amat bimbang nasib anaknya yang menghidap penyakit sawan sejak kecil kerana jika diserang penyakit itu, dia berisiko lemas dalam air.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami sempat membawanya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal,” katanya.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, sejurus kediamannya dinaiki air pada jam 3 pagi tadi, beliau dan anggota keluarganya segera berpindah ke PPS berkenaan, kira-kira satu kilometer dari kediamannya.

Katanya, hujan lebat mulai jam 5 petang semalam menyebabkan sungai berhampiran kediamannya melimpah dan mula memasuki kediamannya 10 jam kemudian, sekali gus memaksa mereka segera mengangkat Ahmad Mustakim Zainal, 29, ke kerusi roda.

Beliau berkata, Kampung Pulau sering dilanda banjir sebelum ini tetapi kali ini mereka terpaksa berpindah ke PPS kerana ia adalah yang terbesar sejak tujuh tahun lalu.

“Ahmad Mustakim dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana menghidap penyakit sawan, selain agak sukar berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda,”
katanya ketika ditemui di PPS itu hari ini.

Beliau berkata, anak keduanya itu tidak boleh dibiarkan berada hampir dengan air yang naik setinggi kira-kira satu meter kerana jika diserang sawan, dia berisiko lemas.

FUZIAH menyuap makanan ke mulut cucunya sambil diperhatikan Mohd Firdaus.

Mohd Firdaus Nasir, 31, berkata beliau dan ibunya, Fuziah Mohd Yusof, 52, dan lima anggota keluarga terpaksa berpindah ke PPS itu pada jam 5 pagi tadi selepas kediaman mereka di Kampung Pulau mula dinaiki air tiga jam sebelum itu.

“Alhamdulillah, kami berjaya tiba di PPS ini selepas terpaksa meredah air setinggi kira-kira 0.6 meter yang memenuhi jalan kampung,” katanya.

Fuziah berkata, beliau mengesyaki kediamannya akan dinaiki air apabila mendapati hujan petang semalam amat lebat hingga menyebabkan sungai berhampiran kediamannya
naik agak cepat.

“Arus sungai sangat deras dan menakutkan saya tetapi saya dan anggota keluarga tidak mudah hilang punca, sebaliknya kami segera mengemaskan dokumen penting dan
memindahkan peralatan elektrik ke tempat tinggi,” katanya.

Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang enggan dikenali berkata, seramai 68 orang dari 19 keluarga dipindahkan ke PPS SK Durian Tunggal
awal pagi tadi.

“Bagaimanapun, setakat jam 9 pagi ini, hanya tinggal 13 keluarga selepas keluarga yang lain beransur-ansur pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Views:

685
Kongsi :
Previous post PKPB di Melaka tamat minggu depan?
Next post Bayi tujuh hari putus tangan digigit anjing: Bapa saudara didenda RM1,000
Ubah saiz-+=