Sorting by

×

Selamat tinggal kedai buku ‘lejen’

Masa Membaca:3 Minit, 51 Saat

TANGGAL 15 Oktober 2021 bakal menyaksikan sebuah kedai buku berstatus legenda di Melaka iaitu Thai Kuang Sdn Bhd akan mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya.

Ia berikutan kedai buku terletak di Jalan Gajah Berang yang cukup sinonim dengan rakyat Melaka sejak era selepas kemerdekaan itu memilih untuk menamatkan operasinya.

Pemiliknya, Maria Ng Abdullah, 75, bagaimanapun menjelaskan penutupan itu bagaimanapun bukanlah disebabkan perniagaan terkesan dengan pandemik COVID-19.

Sebaliknya, faktor ingin bersara selain tiada penyambung legasi membuatkannya memilih untuk menutup operasi.

Antara pembeli yang tidak melepaskan peluang mendapatkan bahan bacaan di hari-hari terakhir Kedai Buku Thai Kuang.

“Umur saya sudah 75 tahun, saya pun sudah tidak larat lagi. Jadi, saya memilih untuk berehat bersama anak cucu.

“Lagipun, kesemua anak-anak saya kini menetap di luar negara. Adik-beradik pun sama, jadi tiada yang mahu sambung perniagaan.

“Bukan sebab COVID-19, kalau COVID-19 tiada pun saya akan tutup juga dan saya tidak bercadang untuk menjual jenama ini kerana bagi saya biarlah ianya berakhir,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di pejabatnya.

 

BERSAING DENGAN DUNIA MODEN

Mengulas lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata, selain disebabkan tiada penyambung legasi, penutupan operasi itu juga disebabkan faktor orang ramai sudah mula beralih kepada teknologi di hujung jari.

Katanya, pada era moden ini, pelbagai jenis buku sudah mula dijual secara dalam talian dan itu menyebabkan perniagaannya mula merudum.

“Kita sudah mula rasa terkesan sejak 15 tahun lagi yang mana jualan buku semakin menurun saban tahun.

“Tidak hanya itu, kos berniaga dan belanja juga semakin lama semakin naik dan keuntungan hasil jualan buku juga tidak banyak mana.

“Jika dahulu kita ada cawangan di Mahkota Parade, namun selepas 18 tahun bertapak di situ kita terpaksa tutup sekitar 2013 kerana kadar sewanya semakin lama semakin mahal dan tidak berbaloi,” ujarnya.

 

KEDAI BUKU TERTUA

Bercerita mengenai bagaimana tertubuhnya jenama Thai Kuang Sdn Bhd, Maria berkata, kedai buku itu mula diusahakan mendiang bapanya, Ng Yook Chee, hampir 74 tahun lalu.

Katanya, pendaftaran syarikat itu dibuat pada Januari 1948 dan operasi kedai bermula di Segamat Johor pada tahun sama.

Ia sekali gus menjadikan kedai buku itu antara yang tertua di Malaysia berdasarkan data yang diperoleh dalam direktori Persatuan Penjual Buku Malaysia.

“Pada ketika itu kita banyak membekalkan buku kepada sekolah-sekolah di sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Pada penghujung 1963, barulah keluarga saya berpindah ke Melaka dan membuka kedai buku di negeri ini,” katanya.

KEDAI Buku Thai Kuang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus di hari-hari terakhir operasi.

Maria berkata, operasi itu kedai itu bagaimanapun bermula dengan menyewa di sebuah lot kedai di Tengkera sebelum berpindah ke Jalan Laksamana.

Mereka akhirnya membuka kedai sendiri di Jalan Gajah Berang yang dikenali ramai sehingga kini.

“Nama Thai Kuang itu dipilih sendiri oleh mendiang bapa saya yang bermaksud cahaya terang.

“Mungkin disebabkan harga buku dan alat tulis yang berpatutan dan servis yang baik membuatkan kita bertapak begitu lama dan menjadi pilihan sehingga tiga generasi penduduk di Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Maria berkata, kedai buku itu kini dalam proses menghabiskan segala stok yang ada di kedai itu dengan menawarkan diskaun sehingga 80 peratus sebelum menutup operasi buat selama-lamanya.

 

ORANG MELAKA BERDUKA

Pengakhiran legasi Kedai Buku Thai Kuang nyata meninggalkan rasa mendalam buat rata-rata penduduk di negeri ini.

Seorang pengunjung tetap, Zaleha Aji, 44, mengakui terkilan apabila kedai yang kerap dikunjungi ketika masih kecil dahulu bakal tinggal sejarah.

Suri rumah dari Ayer Molek itu berkata, kedai tersebut menjadi tempat untuknya mendapatkan pelbagai buku sekolah sejak kecil hingga dewasa dan ia terus menjadi kedai buku pilihan untuk anak-anaknya.

“Memang rasa terkilan sangat. Kedai ini sentiasa jadi pilihan orang Melaka kerana banyak pilihan buku yang sukar didapati di kedai buku lain.

Zaleha

“Kini sudah tiga generasi keluarga saya membeli buku di sini bagi saya sayang sangatlah, tapi kita faham sekarang semua di hujung jari,” katanya yang ditemui di kedai buku itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini di laman Facebook turut mendapati ramai rakyat yang turut berkongsi rasa sedih mereka.

Norleza Ab Ghani dalam komennya di kumpulan Facebook Melaka Dulu-dulu berkata, kedai itu dianggap nostalgia untuknya kerana selalu dibawa oleh arwah bapanya suatu ketika dahulu.

Bahrin Tahir pula berkata, kedai buku itu menjadi antara kedai buku wajib dikunjungi pada era 70-an kerana ia menjual pelbagai jenis buku dan alat tulis.

Nada sedih turut dikongsi Azeery Idris yang menitipkan ucapan terima kasih kepada Thai Kuang kerana menjadi kedai buku kegemarannya sewaktu zaman kanak-kanak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3664
Kongsi :
Previous post Melaka dijangka capai kadar 90 peratus populasi dewasa divaksin hari ini
Next post KKM akan sedia SOP khusus jika PRN Melaka diadakan
Ubah saiz-+=