Selamat Menjawab Buat Calon SPM : Pastikan Kecemerlangan Milik Anda

Masa Membaca:5 Minit, 59 Saat

PERTAMANYA, penulis mengucapkan ‘Selamat Menjawab’ kepada semua calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di seluruh negara yang akan mula menduduki peperiksaan pada Isnin ini.

Semoga hari-hari akhir persekolahan ini dan sepanjang tempoh peperiksaan ini, pastinya calon-calon SPM, SPV dan STPM ini akan lebih tabah, tenang, sabar, bersemangat dan yakin di dalam menempuh ujian ini.

Diharapkan artikel ini juga akan menjadi buah tangan istimewa dan cenderahati unggul buat seluruh calon, para sahabat ibu bapa dan juga para pendidik. Semoga kita dapat bersama-sama membantu anak-anak kita menghadapi perjuangan mereka dan berusaha memutuskan rantaian COVID-19 ini.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin menjelaskan bahawa jumlah calon yang berdaftar untuk menduduki SPM 2020 adalah seramai 400,445 pelajar, manakala SVM pula seramai 8,371 pelajar dan STAM adalah seramai 7,996 orang pelajar.

Bagi calon STPM pula adalah seramai 47,008 orang pelajar yang akan bermula pada 8 Mac akan datang.

Melalui tempoh peperiksaan ini, marilah kita sebagai ibu bapa bersama-sama memastikan tahap kesihatan serta keselamatan anak-anak serta mendoakan kejayaan mereka. Semoga anak-anak ini akan terus konsisten, tenang dan berasa yakin untuk menempuhi cabaran akhir bagi sesi pembelajaran di sekolah menengah.

Pematuhan SOP COVID-19

Di Malaysia, wabak COVID-19 telah memberikan kesan yang besar kepada sistem politik, ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan negara. Sesungguhnya pandemik COVID-19 ini juga telah banyak mengubah lanskap kehidupan manusia hari ini serta memberikan kita pelbagai pengalaman dan pengajaran.

Ianya juga telah berjaya mendidik rakyat Malaysia untuk hidup dalam norma baharu ke arah menggunakan teknologi secara maksima.

Pandemik COVID-19 adalah sejarah dunia yang anak-anak kita terlibat dalam sejarah ini termasuk kita semua. Tidak terbayang difikiran kita pelbagai cabaran yang mereka harungi sebegini rupa. Namun kita perlu hadapinya dengan tenang, sabar dan redha.

Sepanjang tempoh PKP sejak bermula 18 Mac 2020 tahun lalu hingga kini, sebahagian rakyat kita juga telah mengalami tekanan psikologi yang meliputi rasa takut (fear), cemas (panic), tertekan (stress), bimbang (anxious) dan murung (depress).

Sebagai ibu bapa, kita perlu membantu anak-anak kita mengharunginya tempoh peperiksaan mereka ini dengan selamat dan lancar selain meraih keputusan peperiksaan yang cemerlang. Bantuan yang paling penting ketika tempoh peperiksaan ini ialah pematuhan SOP COVID-19 sama ada di rumah, di sekolah, di asrama mahupun di luar rumah.

Sedikit kecuaian ini, pastinya akan mampu mengganggu bukan sahaja anak-anak kita, malah rakan-rakan yang lainnya. Baik diri kita mahu pun anak kita, semuanya mesti mengambil peranan memastikan kesihatan dan keselamatan kita dalam keadaan yang baik serta berusaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan lebih serius.

Ketenangan Emosi

Sebaik-baiknya ibu bapa memberikan anak-anak ini peluang untuk membuktikan kejayaan mengikut tahap keupayaan dan kekuatan mereka. Janganlah ibu bapa meletakkan harapan yang tinggi kerana ini bakal memberikan risiko tekanan emosi pada anak-anak kita.

Pastinya kita sentiasa memberikan kata-kata semangat daripada membebel, apatah lagi ada sikap membanding-bandingkan dengan kekuatan orang lain.

Bagi ibu bapa yang anak-anaknya tinggal di asrama, janganlah tunjukkan kesedihan dan ratapan kerinduan pada anak-anak. Hal ini mampu mengganggu emosi dan kosentrasi mereka. Apa yang ibu bapa perlu lakukan ialah anda perlu menjadi lebih kuat dan positif.

Galakkan anak-anak kita berjuang hingga ke garisan penamat dengan lancar. Tunjukkan kepada mereka bahawa kita sebagai ibu bapa adalah model dan idola kekuatan mereka.
Kawal emosi ketika berhubung dengan anak-anak dan yang paling penting jangan kongsikan masalah atau aktiviti kita di rumah yang boleh mengundang perasaan terkilan pada anak-anak kita.

Memetik perkongsian sahabat baik saya Cikgu Nasaruddin Rahmat (2021) yang menjelaskan bahawa pelajar-pelajar ini sedang mencipta sejarah, maka pastikan mereka meraih sejarah yang manis dan kenangan yang indah dalam hidup mereka. Setidak-tidaknya, kita juga menjadi sebahagian dari lakaran sejarah mereka.

Pembelajaran Dalam Talian

Norma baharu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah menyebabkan sistem pendidikan negara kita ke arah menggunakan teknologi secara maksima melalui pembelajaran dalam talian. Pelajar sekolah dan juga mahasiswa universiti mengikuti kelas secara dalam talian.

Penulis merumuskan bahawa bahawa kaedah pembelajaran secara dalam talian amat signifikan. Kalau dahulunya ia merupakan kaedah luar biasa, tetapi kini ianya telah menjadi norma baharu oleh semua pelajar, guru, mahasiswa dan pensyarah.

Penulis mendapati banyak kajian yang dilakukan ketika pandemik ini menunjukkan bahawa pembelajaran atas talian ini amat popular dengan menggunakan pelbagai aplikasi seperti Google Meet, Google Classrom, Zoom, Webex dan sebagainya sebagai platform terbaik dalam mengikuti kelas dalam talian, perbincangan dan juga mesyuarat.

Walau bagaimanapun, kita akui terdapat banyak cabaran bagi sesetengah pelajar dari golongan berpendapatan rendah atau tinggal di luar bandar adalah kumpulan terpinggir daripada pembelajaran secara dalam talian ketika penutupan sekolah.

Cabaran ini termasuk ketiadaan komputer, tiada akses internet dan capaian internet yang kurang memuaskan di rumah-masing-masing. Hal ini juga memerlukan perhatian dan keprihatinan semua pihak dalam menimbang ketidaksamaan akses pada teknologi dan tidak akan melebarkan jurang digital di seluruh negara.

Peranan Peperiksaan

Penulis begitu yakin dan percaya bahawa seseorang pelajar itu tidak dapat lari daripada menghadapi peperiksaan bagi meneruskan perjalanan pembelajaran. Ini kerana peperiksaan adalah merupakan saringan awal ke laluan seterusnya untuk mencapai cita-cita pada masa akan datang.

Setiap peperiksaan itu adalah merupakan pintu gerbang untuk mendapatkan kejayaan di dalam perjuangan menuntut ilmu. Menghadapi peperiksaan perlu untuk mengesahkan kelayakan pelajar untuk terus melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

Pelajar dari peringkat sekolah rendah akan naik ke peringkat sekolah menengah. Bagi mereka yang lulus cemerlang juga adalah menjadi syarat untuk melanjutkan belajar ke sekolah menengah berasrama penuh dan sebagainya.

Seterusnya belajar ke peringkat yang lebih tinggi lagi yang memerlukan mereka menduduki peperiksaan sehinggalah ke peringkat matrikulasi, kolej dan juga universiti.

Penghargaan Buat Guru dan Pelajar

Guru diibaratkan seperti ‘sebatang lilin, sanggup membakar diri’ untuk menerangi sekelilingnya. Sumbangan dan jasa guru sebagai pendidik begitu banyak sekali. Tanpa guru mungkin tidak akan lahirnya seorang doktor, jurutera, peguam, pensyarah, hakim, wakil rakyat, Perdana Menteri dan banyak lagi.

Pelbagai cabaran diharungi sepanjang tempoh PKP sejak Mac 2020 hingga tahun 2021 ini, namun para guru tetap memainkan peranan utama sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar.

Guru-guru ini telah bersedia dan bertungkus lumus melaksanakan pembelajaran dalam talian mengikut jadual dengan menggunakan modul bercetak dan penyediaan bahan-bahan
pembelajaran yang terdapat di internet seperti Youtube dan sebagainya.

Penulis mewakili seluruh sahabat ibu bapa mengucapkan “Terima kasih Cikgu”, restulah dan redhakan segala ilmu yang telah dicurahkan kepada anak-anak kami semua.

Semoga ungkapan signifikan ini sebagai tanda penghormatan dan penghargaan bermakna buat semua para guru di seluruh Malaysia dalam mencurahkan kepayahan mendidik, membimbing, memecahkan kegelapan dan kejahilan yang menyelubungi pemikiran serta hati anak bangsa kami.

Insya Allah berbekalkan doa, usaha, ikhtiar dan semangat jati diri yang teguh, ianya bakal menjadikan para pelajar sebagai individu ‘ulul albab’ yang cemerlang lagi terbilang. Didoakan mereka ini juga bakal menempa kejayaan yang lebih besar dan mencontohi kecemerlangan mereka yang telah berjaya.

Ayuh, sasarkan keputusan yang terbaik. Malaysia Boleh, Melaka Terbilang, Kita Hebat. Bertemu kita dipuncak kejayaan. Jom! Masuk Universiti. Akhir bicara, ‘Selamat
Menduduki Peperiksaan”, ‘All The Best’ dan ‘Good Luck’ buat semua calon SPM, SVM, STAM dan STPM.

Profesor Madya Datuk Dr Norliah Kudus
Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1725
Kongsi :
Previous post KBS hantar senarai 4,000 nama atlet, pegawai terima vaksin awal
Next post Wanita mengaku murtad mohon maaf kepada kerajaan, rakyat Malaysia
Ubah saiz-+=