Sorting by

×

Selagi ada kudrat, anak muda Durian Tunggal sedia membantu

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Jan – Prihatin dengan musibah banjir yang melanda Kampung Belimbing Dalam, sekumpulan anak muda dari Durian Tunggal terpanggil membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Misi itu dijalankan Kumpulan Anak-anak Muda Durian Tunggal sejak gelombang pertama banjir pada Dis lalu dan diteruskan pada musibah yang berlaku awal tahun ini.

Ketua kumpulan itu, Muhammad Asyraf Azman, 23, berkata, dengan kerjasama swasta iaitu, Benojaya Group Sdn Bhd, mereka telah tampil memberikan bantuan berupa tenaga kerja, di samping sedikit sumbangan kepada mangsa yang terkesan.

“Alhamdulillah dengan tenaga anak muda sekitar 15 orang sedikit sebanyak membantu penduduk di kawasan ini dan kita menyasarkan misi bantuan ini akan diteruskan di sekitar daerah Alor Gajah demi membantu penduduk terlibat.

“Kita harap satu hari nanti lebih ramai anak muda dan remaja di negeri ini untuk bersama menyertai misi ini agar ia dapat diperluaskan ke seluruh kawasan terjejas banjir di Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan misi banjir di Jalan Bunga Melor, di sini hari ini.

MUHAMMAD Afiq

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Benojaya Group Sdn Bhd Datuk Muhammad Afiq Ikhwan dan Pengarah Benojaya Group Sdn Bhd, Ong Chong Beng.

Sementara itu, Muhammad Afiq berkata, usaha yang dilakukan itu menunjukkan komitmen dan keperihatinan tinggi anak muda kampung itu untuk membantu mereka yang terjejas.

Menurutnya, selain gotong-royong membersihkan rumah, bantuan itu juga diteruskan dengan mengagihkan bantuan perkakas elektrik dan kit makanan.

“Ini merupakan siri kedua pasca banjir yang dilakukan pihak kami dan dianggarkan lebih 20 buah rumah telah dibersihkan.

“Bagi misi ini juga apabila kita melihat badan bukan kerajaan (NGO) lain yang turun memberikan bantuan seperti bekalan makanan, beras dan sebagainya namun mereka terlepas pandang bahawa ramai penduduk kehilangan perkakas elektrik akibat bencana yang berlaku.

“Jadi selain kita membantu dalam aspek tenaga kerja kita turut membantu mereka mengagihkan bantuan barangan elektrik agar bebanan yang ditanggung dapat diteruskan demi meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

“Atas keperihatinan itu juga kita memperuntukan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1550
Kongsi :
Previous post Banjir terburuk berlaku lagi selepas lapan tahun
Next post Polis pergiat operasi, pantau jualan sijil vaksinasi palsu – KPN
Ubah saiz-+=