Sektor pertanian Melaka terima insentif bantuan RM3.48 juta

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 28 November – Insentif bantuan sejumlah RM3.48 juta disediakan Kerajaan Negeri pada 2023 kepada petani dan usahawan bagi pembangunan sektor pertanian di Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, insentif diberikan itu memberi manfaat kepada 492 petani dan usahawan yang layak menerusi Jabatan Pertanian.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kebergantungan import, Kerajan Negeri menyediakan beberapa insentif dan bantuan khusus untuk golongan petani, nelayan dan penternak.

“Pada tahun 2023 Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM3.48 juta bagi insentif bantuan kepada petani, di seluruh Melaka yang memberi manfaat kepada 492 orang petani dan usahawan membabitkan insentif Pembangunan Industri Tanaman Makanan, Pembangunan Industri Bernilai Tinggi, Pembangunan Tanaman Padi serta Pembangunan Industri Asas Tani.

“Kesemua insentif itu akan diberikan kepada petani yang layak dalam bentuk naik taraf infrastruktur ladang seperti sistem pengairan dan stor ladang, bekalan input pertanian seperti baja, racun perosak dan benih tanaman serta ketiga dalam bentuk bekalan mekanisasi ladang seperti jentera kecil pertanian dan peralatan ladang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Adun Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, hari ini.

Menurut Muhamad Akmal, sejumlah RM478,717 turut disediakan kepada penternak pada tahun ini yang membabitkan pelbagai insentif dan galakan dalam usaha meningkatkan pengeluaran mereka.

“Lima jenis bantuan diberikan adalah bantuan ternakan, bahan binaan kandang/reban, mesin dan input ternakan, tanaman rumput serta baka ternakan bersubsidi membabitkan seramai 63 orang penerima.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM990,000 melalui Jabatan Perikanan negeri untuk pelaksanaan pembangunan Projek Kebun Kerang di kawasan perairan Zon Industri Akuakultur (ZIA) kepada komuniti nelayan di daerah Jasin yang bermatlamat meningkatkan ekonomi nelayan persisir pantai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Cadang tubuh pasukan khas pantau prestasi anak syarikat
Next post PBT terima lebih 4,000 aduan anjing liar
Ubah saiz-+=