Sorting by

×

Sektor penjagaan kesihatan dijangka terima peruntukan lebih besar

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Sektor penjagaan kesihatan dijangka menerima peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan 2021 bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan dan lain-lain kementerian membendung penularan COVID-19.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) Lee Heng Guie dalam tulisannya menerusi kolum Tinta Minda atau ‘Thoughts’ di www.bernama.com berkata, ini berikutan keyakinan terhadap hala tuju masa depan pembangunan, penghasilan dan ketersediaan vaksin itu amat diperlukan untuk mencapai pemulihan sepenuhnya.

“Sebagaimana yang dipaparkan menerusi trajektori gelombang ketiga virus yang tidak menentu ini, masih terdapat ketidakpastian mengenai kekukuhan serta landasan pemulihan semula ekonomi pada 2021.

“Perasaan bimbang, gelisah dan stres mengenai peningkatan jumlah kes jangkitan baharu itu juga boleh menjejaskan usaha pemulihan sepenuhnya sentimen pengguna serta keyakinan perniagaan yang masih lemah,” katanya dalam artikel dua bahagian bertajuk “The 2021 Budget: Measured Fiscal Booster Dose.”

Menurut Lee, sekiranya gelombang ketiga COVID-19 itu semakin buruk dan menyebabkan pelaksanaan langkah berjaga-jaga bersasar pada skala lebih besar serta perintah kawalan lebih tegas, ini boleh menjejaskan pemulihan ekonomi yang diharapkan pada suku keempat 2020 dan seterusnya 2021.

“Keadaan ekonomi dan perniagaan semasa yang tidak memberangsangkan ini tidak mungkin dapat bertahan jika satu lagi aktiviti pemberhentian mengejut akibat perintah kawalan pergerakan sepenuhnya dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 juga dijadual dibentangkan pada 6 November ini ketika ekonomi masih bergelut untuk menangani penguncupan terburuk akibat pandemik COVID-19 berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, aspek (pengurusan) fiskal berhemat sebaliknya perlu memberi laluan terhadap pendekatan-pendekatan bagi membantu menghidupkan semula permintaan walaupun defisit fiskal akan meningkat daripada jangkaan awal.

“Sejurus pemulihan pertumbuhan itu, defisit fiskal dapat diuruskan pada tahun-tahun mendatang menerusi pelaksanaan rangka kerja pengukuhan fiskal yang mantap dalam jangka pertengahan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa Kerangka Kestabilan Fiskal lima tahun perlu dirangka bagi melaras semula landasan konsolidasi fiskal yang turut merangkumi rasionalisasi dan pengoptimuman operasi dan perbelanjaan pembangunan, perluasan asas-asas hasil, pengukuhan kecekapan cukai, menangani jurang pencukaian dan ekonomi bayangan selain mengawal huang langsung serta liabiliti luar jangka kerajaan.

Ini, termasuk menuntut pelaksanaan Akta Pemerolehan Kerajaan dan Akta Tanggung Jawab Fiskal.

“Kami percaya agensi-agensi penarafan antarabangsa akan memberi ruang untuk kerajaan memperbaiki ekonomi walaupun berdepan kekangan fiskal sementara selagi kerajaan kekal komited terhadap usaha konsolidasi ekonomi apabila keadaan kembali pulih,” katanya.

Lee berkata kerajaan juga telah memaparkan rekod prestasi konsolidasi fiskal yang baik bagi dua tempoh penting termasuk pelaksanaan langkah-langkah pelarasan fiskal berstruktur yang perit pada awal 1980-an yang menyebabkan enam tahun berturut-turut dari segi lebihan belanjawan antara 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 2.1 peratus daripada KDNK pada 1992-1997.

Satu lagi tempoh adalah selepas krisis kewangan global pada 2008-2009 yang menyaksikan penurunan nisbah defisit belanjawan secara ketara selama lapan tahun berturut-turut daripada 6.5 peratus pada 2010 kepada 2.9 peratus pada 2017.- BERNAMA

Views:

314
Kongsi :
Previous post Resah hadapi banjir empat kali setahun
Next post Para pemimpin APEC bertemu secara maya pada 20 November
Ubah saiz-+=