Sorting by

×

Sektor kewangan Malaysia kekal kukuh

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Persekitaran monetari dan kewangan negara kekal kukuh sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan menyokong kepada pemulihan ekonomi, menurut  laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

“Dasar monetari telah meredakan kesan buruk pandemik terhadap ekonomi berikutan langkah yang diambil bagi membendung penularan virus COVID-19.

“Dasar ini juga telah menyediakan langkah rangsangan tambahan bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi,” katanya.

Katanya operasi monetari dijangka akan dipacu oleh pasaran wang dan pertukaran asing yang rancak serta aktiviti pengantaraan.

Mengenai perkembangan monetari, Bank Negara Malaysia telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) secara berturut-turut sebanyak 125 mata asas (bps) pada tujuh bulan pertama tahun 2020 kepada 1.75 peratus iaitu paras terendah yang pernah direkodkan.

Kadar faedah dalam sistem perbankan telah dikurangkan selari dengan pengurangan OPR sejak Januari 2020.

Katanya sektor perbankan dijangka kekal teguh dan teratur, disokong oleh mudah tunai dan penampan modal yang mencukupi.

“Pasaran modal akan terus berdaya tahan didorong oleh infrastruktur dan instrumen sedia ada yang baik.

“Bagaimanapun, kebimbangan terhadap momentum pemulihan ekonomi global akibat pandemik, ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China yang berlarutan, harga komoditi yang rendah serta volatiliti dalam pasaran kewangan global dijangka mempengaruhi prestasi kewangan dan pasaran modal,” katanya.

Bagi tempoh Januari-Julai, bank tempatan kekal teguh walaupun berdepan dengan persekitaran yang mencabar, disokong oleh pasaran kewangan yang teratur dan keyakinan berterusan terhadap sektor perbankan.

Aktiviti pinjaman yang menurun menunjukkan sentimen berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan global dan domestik.

Pinjaman yang diluluskan dan pinjaman yang dikeluarkan berkurangan sebanyak 22 peratus dan 7.3 peratus kepada RM185.5 bilion dan RM657.1 bilion dalam tempoh tujuh bulan tersebut.

Kelulusan pinjaman kepada perniagaan merosot sebanyak 12.5 peratus kepada RM80.7 bilion pada akhir Julai 2020, sementara kelulusan pinjaman kepada isi rumah menurun 30 peratus kepada RM88.9 bilion.

Jumlah hutang isi rumah meningkat sebanyak 4.0 peratus kepada RM1.27 trilion, iaitu 87.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar pada akhir Jun 2020.

Menurut laporan itu, peningkatan itu terutamanya disebabkan kemerosotan ketara dalam KDNK pada separuh pertama tahun 2020 dengan sebahagian besar hutang terdiri daripada pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman (55.9 peratus).

— BERNAMA

Views:

387
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: Subsidi RM1.7 bilion untuk bantu petani dan nelayan
Next post 500,000 pekerjaan baharu tahun depan menerusi Skim Janakerja
Ubah saiz-+=