Sorting by

×

Sekolahku Sejahtera terap 14 elemen nilai kehidupan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA, 21 Feb – Konsep Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata 14 elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA itu ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di sini hari ini, Radzi berkata kesemua elemen itu akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

“Konsep ini tidak tambah beban tugas guru. Dalam konteks ini, guru-guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Contohnya guru sedang mengajar mata pelajaran Sejarah, ada perkara-perkara dalam topik yang diajar itu berkait rapat dengan konsep 14 elemen itu, ia boleh digunakan dan dijelaskan kepada anak-anak ini,” katanya.

Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

Radzi berkata penekanan terhadap 14 elemen nilai itu bukan bermakna elemen lain dalam kehidupan diketepikan.

“Kita fokus pada konsep-konsep utama, kita yakin sekiranya anak-anak ini betul-betul menjiwai konsep ini, kita mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya.

Mengambil contoh elemen artikulasi iaitu murid dididik dengan keupayaan untuk mengolah, menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian tentang sesuatu perkara dengan jelas dan teratur, Radzi berkata apabila dewasa kelak, murid berkenaan boleh berhujah atau bercakap dengan tertib dan disokong dengan fakta.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1764
Kongsi :
Previous post KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3
Next post Penularan COVID-19 di Kolej Matrikulasi Gopeng terkawal
Ubah saiz-+=