Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan selamat lahirkan pelajar berdisplin, berintegriti tinggi

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

PUTRAJAYA, 19 Ogos – Inisiatif Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat bakal melahirkan generasi pelajar berdisiplin dan berintegriti tinggi selain mewujudkan suasana persekitaran sekolah yang selamat. 

Inisiatif dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dilancarkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin di sini Khamis (18 Ogos).  

Antara fokus utama inisiatif tersebut adalah untuk menangani permasalahan disiplin dan salah laku serta mengenal pasti pelajar yang terlibat penggunaan barang terlarang iaitu dadah melibatkan pelajar sekolah. 

Radzi dalam sidang media selepas pelancaran inisiatif itu berkata kolaborasi KPM dengan KDN khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dipertingkatkan dalam usaha mewujudkan suasana persekitaran sekolah selamat. 

“Kita ingin tingkatkan lagi kolaborasi bagi memastikan sekolah dapat dijadikan tempat selamat untuk anak-anak kita. 

 

“Apa yang penting dalam memastikan sekolah ini jadi tempat selamat adalah semua bersepakat bukan hanya KPM atau KDN tetapi seluruh masyarakat di pelbagai peringkat untuk berusaha bersama-sama wujudkan keadaan sekolah selamat,” katanya.

Menerusi inisiatif Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat, PDRM menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan pegawai kanannya akan turun ke semua sekolah dengan lebih kerap bagi melaksanakan program pencegahan.

Sementara itu, AADK pula akan melaksanakan ujian saringan air kencing di setiap sekolah KPM bagi mengenal pasti pelajar terlibat dadah dan mengadakan program pencegahan mengenai bahaya penggunaan musuh nombor satu negara itu. 

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan KPM bagi mengenal pasti pendekatan baharu yang boleh diperkenalkan bagi mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

“Buat masa ini, kami akan tumpu beri kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya dadah dan apa kesannya. Secara umum 65 hingga 75 peratus belia terlibat dadah jenis sintetik seperti syabu,” katanya yang menyokong penuh pelaksanaan inisiatif Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat.

 

Bagi Pengetua Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur Suriyani Ab Ghani pula, pengenalan insiatif Sekolahku SEJAHTERA: Sepakat dan Selamat adalah tepat ketika negara dalam usaha melahirkan generasi pelajar berdisiplin dan berdaya saing. 

“Ia satu program yang bagus dan kolaborasi KPM dan KDN khususnya melalui PDRM wajar dipertingkatkan untuk tangani permasalahan disiplin di sekolah,” katanya.

Ketua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 14(1) Nur Hazimah Habib Hafiz berkata kehadiran PPS ke sekolah-sekolah dengan lebih kerap dapat membendung permasalahan disiplin, salah laku serta kejadian jenayah melibatkan pelajar.

“Saya dan rakan pengawas sentiasa berhubung dengan PPS bagi memastikan kejadian jenayah atau penggunaan dadah dalam kalangan pelajar dapat dibendung.

“Program pencegahan yang dilaksanakan dengan pihak polis dan AADK mungkin dapat menyedarkan pelajar yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral,” kata pelajar Tingkatan Lima itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2163
Kongsi :
Previous post Jelajah Merdeka bawa mesej cintakan alam sekitar
Next post Pendakwaan sambung hujah dalam rayuan kes SRC Najib
Ubah saiz-+=