Sekolah perlu buat pentaksiran dan pemerhatian prestasi murid
KUALA LUMPUR 10 Mac. – Pihak sekolah perlu melakukan pentaksiran dan pemerhatian ke atas prestasi murid selepas pembukaan semula sekolah secara bersemuka agar tidak ada yang tercicir dalam pembelajaran.
Sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka sepenuhnya bulan depan membabitkan keseluruhan hampir lima juta pelajar di 10,223 sekolah di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim berkata langkah berkenaan perlu untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam pembelajaran.
“Sekiranya kita mengetahui prestasi murid, kita boleh merapatkan jurang dalam aspek pembelajaran dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) telah melakukan penjajaran kurikulum, dari segi kandungan, pedagogi dan pentaksiran bagi membolehkan ia berlaku.
“KPM turut mengadakan program transisi murid tahun satu 2021, ini adalah program intervensi bagi murid prasekolah yang tidak dapat hadir ke prasekolah (tahun lepas) dan kini telah melangkah ke tahun satu,” katanya dalam ditemu bual ‘Setahun Pencapaian Kementerian Pendidikan Malaysia’ pada program Selamat Pagi Malaysia di TV1, hari ini.
Beliau berkata program transisi tahun satu tersebut bertujuan untuk mengurus murid daripada aspek sosioemosi, sikap, literasi dan numerasi agar mereka tidak ketinggalan dalam aspek berkenaan.
Menurut Habibah, sesi pembelajaran secara bersemuka dibuat selepas melihat perkembangan situasi pada Januari dengan kelas-kelas peperiksaan 2020 dibenarkan ke sekolah, kemudian diikuti murid prasekolah, tahun satu dan dua pada 1 Mac manakala minggu ini pula murid tahun tiga hingga enam.
Katanya, secara keseluruhan, ia membabitkan hampir tiga juta murid di 7,781 sekolah rendah di seluruh negara.
Pembukaan semula sekolah menengah pada 4 April membabitkan Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B pula akan memulakan persekolahan pada 5 April.
Sementara itu, Habibah berkata KPM turut memberi perhatian kepada isu yang dibangkitkan ibu bapa berkaitan pembukaan sekolah seperti aspek pemakaian seragam sekolah dan keselamatan warga sekolah.
Katanya, KPM telah memberi kelonggaran kepada murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah untuk memakai pakaian biasa yang sesuai, kemas dan sopan bermula 1 hingga 26 Mac.
Beliau berkata KPM turut memperuntukkan RM300 juta bagi penyediaan termometer, pensanitasi tangan, sabun serta lain-lain keperluan di sekolah untuk memastikan penjagaan keselamatan serta kesihatan murid dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.