Sekolah perlu anjurkan lebih banyak program perpaduan – KM
JASIN 28 Januari – Semua sekolah di Negeri Melaka perlu berganding bahu dalam mewujudkan program ke arah memupuk perpaduan masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelaksanaan program seperti itu dapat mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Saya sarankan pihak sekolah agar berganding bahu wujudkan program ke arah perpaduan. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program perpaduan demi keharmonian masyarakat di Negeri Melaka.
“Perpaduan diwujudkan sejak 60 tahun dahulu dan semangat ini perlu dijaga, jangan berhenti kekalkan perpaduan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Ponggal Perpaduan 2023 anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jasin di sekolah tersebut, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam serta Guru Besar SJKT Jasin, Selva Raju.
Majlis turut diserikan dengan tarian tradisional oleh Kelab Kebudayaan SJKT Jasin.
Ujarnya, SJKT Jasin juga wajar dijadikan contoh kerana sentiasa mengadakan program Ponggal pada setiap tahun melibatkan pelbagai bangsa.
“Tahniah kepada SJKT Jasin menjadikan program begini sebagai acara tahunan tanpa mengira agama dan budaya.
“Saya hadir pada hari ini untuk meraikan budaya mereka, program seperti ini perlu diteruskan supaya generasi akan datang tidak melupakan tradisi mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.