Sorting by

×

Sekelip mata COVID-19 ‘serang’ 47 ahli keluarga, korbankan bapa mentua

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

BUKIT RAMBAI 6 Ogos – Sebuah keluarga di Kampung Bukit Datuk A, di sini, berdepan detik hitam ‘berperang’ dengan pandemik COVID-19 apabila ia menjangkiti 47 daripada 57 orang ahli keluarga dalam sekelip mata.

Wabak berkenaan turut meragut nyawa bapa mentua kepada seorang penjawat awam, Mohd Hamka Abdul Rahman, 40.

Mohd Hamka berkata, dia sama sekali tidak menyangka kegelisahan dan sakit dialami bapa mentuanya, Osman Ab Bakar, 75, selepas menerima suntikan dos kedua vaksin sehari sebelum Aidiladha pada 19 Julai lalu sebenarnya disebabkan COVID-19.

Pada awalnya, mereka sekeluarga beranggapan ia kesan sampingan selepas menerima vaksin, namun apabila dirinya mengalami sakit dada selain sekeluarga mula bergejala demam membuatkannya mula tidak sedap hati.

“Memang saya ada sakit dada dan keesokan hari, satu keluarga saya seramai 10 orang termasuk anak, menantu dan cucu berusia empat bulan mula demam.

“Tapi demam itu hanya sekejap dan kebah tidak sampai sehari membuatkan kami tidak mengesyaki apa-apa.

“Hendak dijadikan cerita, kami sekeluarga ada pergi menziarah rumah mak saya di Bertam Malim memandangkan abang saya sedang terlantar sakit,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurut Mohd Hamka disebabkan ketiadaannya di rumah, adik-beradik sebelah isteri datang bergilir-gilir setiap dua jam untuk menjaga ayah mentuanya di Bukit Rambai.

“Namun keesokan hari, semuanya demam dan itulah bermulanya detik hitam kami sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata, keadaan bapa mentuanya semakin merosot pada hari keempat membuatkan dia terpaksa menghubungi ambulans dan menceritakan apa yang berlaku.

Menurutnya, pihak hospital juga pada mulanya hanya menganggap ia sebagai tindak balas vaksin.

Bagaimanapun, apabila tiba di Hospital Melaka, ujian saringan mendapati bapa mentuanya sah dijangkiti COVID-19, dan terpaksa ditahan di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 30 Julai lalu.

“Selepas dapat tahu positif COVID-19, kami satu keluarga terus menjalani saringan dan hampir kesemuanya ‘sangkut’ apabila dijangkiti COVID-19, termasuklah keluarga saya di Bertam Malim yang mana kebanyakannya masih belum menerima vaksin.

“Kami difahamkan kes berlaku disebabkan sporadik yang punca jangkitan tidak diketahui.

“Seperti saya sekeluarga kami menjalani kuarantin di rumah, namun ada juga yang dihantar ke PKRC MITC.

“Kini sudah masuk hari ke-10 kami menjalani kuarantin di rumah dan alhamdulillah keadaan kami sekeluarga bertambah baik, cuma abang saya sahaja yang difahamkan sedang tenat di Hospital Melaka,” ujarnya.

Menceritakan detik sepanjang kuarantin, Mohd Hamka mengakui bersyukur apabila dikelilingi ramai individu baik hati yang banyak membantunya sekeluarga.

Ujarnya, dia dan keluarga menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Terima kasih kepada semua yang membantu kami sepanjang tempoh ini dan boleh dikatakan makanan yang kami terima tidak putus-putus.

“Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa kalian untuk membantu kami sekeluarga.

“Kami juga mohon doa anda semua agar keluarga saya kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai mematuhi SOP dan sentiasa berwaspada sepanjang tempoh ini kerana COVID-19 menyerang tidak kira masa dan tempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Seluruh warga pengajian tinggi divaksin menjelang Oktober
Next post COVID: 491 kes, 1 kluster baharu di Melaka
Ubah saiz-+=