Sekatan pergerakan penuh: Lebih 800 SJR, 70,000 anggota polis dan agensi KDN ditugaskan

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

PUTRAJAYA 29 Mei – Bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara akan ditingkatkan kepada lebih 800 menerusi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun ini berbanding hampir 600 ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata seramai 70,000 anggota polis dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditugaskan di seluruh negara termasuk 15,000 anggota Jabatan Imigresen, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menurutnya kekuatan polis ditambah kepada 55,000 anggota berbanding 37,000 anggota ketika ini bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan secara berkesan.

Gambar Hiasan… Lebih 800 SJR akan dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Jun ini. Foto FB KDN.

“Sekiranya jumlah ini dirasakan tidak cukup, kita akan tambah lagi anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan di bawah KDN,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan penutupan semua sektor ekonomi dan sosial dalam sekatan pergerakan penuh di peringkat KDN, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Maritim Malayusia Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 semalam memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.

Hamzah berkata Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP juga akan melaksanakan pemeriksaan secara mengejut dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pematuhan SOP sektor sosial dan ekonomi.

“Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul,” katanya serta menambah keanggotaan Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP akan ditingkatkan kepada hampir 20,000 orang berbanding 13,795 orang ketika ini.

Mengenai pelaksanaan Ops Benteng, Hamzah berkata Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin akan digerakkan untuk memperketatkan pematuhan SOP dan kawalan sempadan terutama di laluan panas yang menjadi tempat pendaratan pendatang asing bagi mencegah kemasukan secara haram.

“Jabatan Imigresen bersama Jabatan Pendaftaran Negara dan polis juga akan meningkatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu di kawasan-kawasan penempatan warga asing di seluruh negara,” katanya.

Hamzah berkata tindakan tegas tanpa kompromi seperti kompaun akan diambil ke atas mana-mana pihak yang tidak mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Beliau berkata Bilik Gerakan KDN akan beroperasi 24 jam bermula 1 Jun ini dan orang ramai boleh menghubunginya untuk sebarang pertanyaan melibatkan KDN dan jabatan di bawahnya berhubung sekatan pergerakan penuh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

698
Kongsi :
Previous post Sekatan pergerakan penuh: Bantuan Musa’adah COVID-19 diteruskan- Ahmad Marzuk
Next post “Nak ke mana hujung minggu ni?” – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=