Sorting by

×

Sekatan pergerakan penuh: Bantuan Musa’adah COVID-19 diteruskan- Ahmad Marzuk

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KOTA BHARU 29 Mei – Semua agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan meneruskan usaha membantu rakyat yang terkesan pandemik COVID-19 menerusi Tabung Musa’adah COVID-19 sepanjang 14 hari sekatan pergerakan penuh di seluruh negara yang bermula 1 Jun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, petugas agensi terlibat diminta menggiatkan lagi usaha bagi memastikan bantuan menerusi tabung itu sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Agensi-agensi agama terlibat akan diminta menggiatkan lagi usaha menyalurkan bantuan kerana kita ada Tabung Musa’adah COVID-19 di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Penyerahan barangan keperluan ini akan dibantu oleh jentera agensi dan komuniti masyarakat bagi memastikan setiap barangan sampai sehingga ke “tangga” rumah penduduk.

“Tahun ini sahaja kita sudah membelanjakan lebih RM10 juta bagi tujuan bantuan kepada pihak yang terkesan. Tabung ini agak besar dananya dan ditubuhkan untuk memberi bantuan kepada pihak terjejas,” katanya.

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary. Foto fail.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada penyerahan barangan keperluan makanan sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (​YaPEIM) Kelantan kepada penduduk Kampung Pauh Lima, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus ​YaPEIM Kelantan, Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong dekat Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu di Kota Bharu bermula 19 Mei hingga 1 Jun ini.

Mengulas PKPD di Kampung Pauh Lima, Ahmad Marzuk berkata, kesemua bekalan akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pauh Lima yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan.

“Kita tahu ekoran PKPD dan lockdown bermula 1 Jun ini, semua pergerakan penduduk terbatas.

“Namun, setiap bantuan dijamin akan sampai kepada penduduk dan tiada satu keluarga yang akan terlepas dan semua akan menerima manfaat daripada kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post (KEMASKINI) 9,020 kes baharu harian, 98 kematian: COVID-19 makin membimbangkan
Next post Sekatan pergerakan penuh: Lebih 800 SJR, 70,000 anggota polis dan agensi KDN ditugaskan
Ubah saiz-+=