Sorting by

×

Sejam sesat di Bukit Beruang

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MELAKA 9 Mac. – Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila tersesat kira-kira sejam ketika pertama kali mendaki ke Bukit Beruang, di sini, lewat petang semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 57 tahun itu yang datang dari Kuala Lumpur ke negeri ini atas urusan kerja naik ke bukit berkenaan kira-kira jam 7 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.06 malam sebelum sepasukan anggota bersama Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan (PBK) II Mohd Iswandy Ariffin bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, bomba sampai di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit selepas panggilan diterima dan daripada maklumat diterima mangsa dikatakan tersesat antara laluan CP I dan CP II dikawasan Bukit Beruang.

“Pasukan operasi yang dapat berkomunikasi dengannya melalui telefon memaklumkan supaya mangsa tidak bergerak ke kawasan lain dan tunggu di lokasi dia berada bagi mengelakkan dia jauh tersasar dari laluan.

“Operasi pencarian dijalankan pasukan dengan melalui laluan pendaki menuju ke CP II dan mangsa kemudian dijumpai kira-kira jam 8.50 malam,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Hamdan berkata, mangsa yang ditemukan dalam dalam keadaan selamat kemudian dibawa turun hingga ke kaki bukit dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Saya ingin menasihatkan kepada masyarakat jika ingin melakukan aktiviti mendaki pastikan pada
masa yang sesuai dan elak mula mendaki pada lewat petang.

“Malah faktor cuaca juga perlu diambil kira sebelum aktiviti mendaki dilakukan bagi menjamin keselamatan selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingin berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post Hanya 15 peratus rakyat Melaka sudi terima vaksin
Next post 3 Divisyen ATM utamakan pegawai dan anggota tentera terlibat Op Penawar dan Op Benteng
Ubah saiz-+=