Sorting by

×

SEJAM KEJAR LORI 5 TAN ‘MENGGILA’ SEBELUM REMPUH RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

PAYA RUMPUT 19 Februari – Bukan sahaja memandu secara melulu dan lari daripada pasukan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bahkan sebuah lori lima tan turut merempuh sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, di sini.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang tadi bermula di Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) dan menjadi tular di media sosial.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff memaklumkan, pasukan penguatkuasanya telah mengekori lori dengan muatan bahan binaan itu lebih kurang satu jam iaitu sejauh 25 kilometer (km) sebelum pemandu lori nekad melompat keluar dari kenderaan.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan lori berkenaan bergerak tanpa kawalan lalu merempuh sebuah rumah di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya mengakibatkan kerosakan pada pagar, tembok rumah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Jelasnya, pemandu lori berusia 27 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan penduduk setempat dan kes diserahkan kepada pihak polis.

“Semakan mendapati lori tersebut mempunyai lapan saman lampau, namun kesemuanya telah diselesaikan.

“Akibat tindakan terbaharu, JPJ telah mengeluarkan lima notis saman baharu terhadap pemandu di atas kesalahan seperti tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL); tidak mematuhi lampu isyarat merah serta memandu secara cuai.

“Selain itu, laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Durian Tunggal,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Firdaus bagaimanapun menegaskan tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau turut menasihati pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan tindakan berbahaya di jalan raya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post JANGAN LEPASKAN PELUANG, 13 PRODUK PELANCONGAN PERCUMA DI MELAKA, ESOK
Next post LESTARI RUN MACHAP JAYA BUKA 200 PENYERTAAN TAMBAHAN