Segerakan rumah baharu untuk mangsa kebakaran

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

PANTAI KUNDOR 20 September – Nasib ibu tunggal Robiah Saidin, 61 dan anak lelakinya Muhammad Shahrul Fitri Noordin, 19, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Lorong Haji Manaf, Tangga Batu, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, pihaknya kini berusaha untuk menyegerakan pembinaan kediaman baharu untuk dua beranak berkenaan.

Katanya, setakat ini bantuan segera termasuk dalam bentuk tunai dan kelengkapan asas sumbangan Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sudah diserahkan kepada mangsa.

WhatsApp Image 2022-09-20 at 4.41.43 PM
TUMINAH (kiri) bersama Muhammad Ahyad ketika melawat mangsa kebakaran hari ini.

“Sekarang kita mahu segerakan permohonan membina kediaman baharu mangsa dengan kerjasama agensi atau syarikat swasta berkenaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sementara menunggu rumah siap, MAIM akan membiayai kos sewa rumah, selain itu Pejabat Daerah Dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT) turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa,” katanya.

Terdahulu, Tuminah bersama Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah, turun padang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.

Menurut Tuminah, pihaknya amat berterima kasih khasnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka yang bertungkus lumus memadam kebakaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1819
Kongsi :
Previous post Bapa durjana dipenjara 428 tahun 240 sebatan
Next post Carum Perkeso: Keluarga penghantar makanan maut kemalangan terima faedah sepanjang hayat
Ubah saiz-+=