SEGERAKAN PEMBERSIHAN, PENYELENGGARAAN LONGKANG

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BEMBAN 8 Oktober – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri diminta untuk menyegerakan kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang di kawasan terjejas banjir di Kampung Tehel.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, langkah segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian banjir lebih teruk berlaku di kawasan itu sehingga menjejaskan rutin harian penduduk.

“Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan peka bila berlaku sesuatu bencana seperti banjir ini. Difahamkan kawasan ini memang lokasi banjir.

“Namun begitu bagi mengelak kejadian yang lebih teruk saya bersama-sama dengan Japerun Bemban dan JPS akan membuat pemantauan bagi mencari penyelesaian berhubung isu ini.

“Malah kita juga akan minta JPS untuk mengambil tindakan segera dengan membersih dan menyelenggara semak-semak di laluan longkang atau parit sekitar Sungai Tehel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turun padang melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, petang tadi.

Menurut Rais, sehingga petang tadi hanya sebuah PPS di negeri ini dibuka yang mana seramai 22 orang penduduk ditempatkan di SK Tehel selepas kediaman mereka dinaiki air pada Ahad.

“Kebajikan mangsa-mangsa banjir ini kita akan memberi cakna selain dipihak Kerajaan Negeri kita menasihati penduduk yang kediaman mereka dinaiki air untuk berpindah ke PPS,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

27
Kongsi :
Previous post KERJASAMA SILANG BUDAYA PROMOSI MELAKA-SARAWAK
Next post PERHILITAN PANTAU BUAYA ‘VIRAL’ DI KAMPUNG MORTEN
Ubah saiz-+=