Sorting by

×

Segerakan bantuan untuk mangsa dua rumah terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

REMBIA 12 Februari – Bantuan awal buat mangsa yang tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran dua rumah di Lorong Zakaria, Jalan Alor Gajah, di sini akan disegerakan.

Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, keutamaan ketika ini adalah penempatan transit atau sementara buat semua mangsa terbabit.

Katanya, diharapkan agensi berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dapat menyegerakan penyaluran bantuan mengikut keperluan mangsa yang turut membabitkan kanak-kanak.

“Mungkin mangsa ini akan ditempatkan di rumah sewa sementara menunggu bantuan lain. Selain itu saya juga akan pastikan kanak-kanak yang terbabit menerima bantuan kelengkapan persekolahan dan buku teks, ini kita usahakan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

“Selain itu ‘team mobile’ Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga sudah dihubungi bagi membantu menyelesaikan hal berkaitan dokumentasi pengenalan mangsa yang turut terbakar bersama kediaman mereka,” katanya selepas turun padang melawat mangsa di lokasi kebakaran, hari ini.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan, dua buah rumah telah berdepan insiden kebakaran kira-kira jam 10 pagi tadi mengakibatkan 90 peratus struktur rumah hangus dijilat api.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Khusairy Deraman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran pada jam 11.23 pagi.

Menurutnya, susulan itu seramai 18 anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Cheng dikejarkan ke lokasi kejadian.

Mohd Khusairy berkata, kebakaran membabitkan dua rumah dan mangsa yang terjejas berusia lingkungan sembilan hingga 58 tahun.

“Semua mangsa sempat menyelamatkan diri, api berjaya dikawal dan dipadamkan meskipun ketika kejadian berlaku tiupan angin kencang menyebabkan kebakaran merebak dengan lebih pantas.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar menyebabkan kebakaran dan nilai kerugian dialami mangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

754
Kongsi :
Previous post Op Selamat 21: 14 kematian direkodkan setakat semalam
Next post Bomba Selangor selamatkan enam beradik hampir jadi mangsa korban kebakaran
Ubah saiz-+=