Segerakan angkat sukan tempur jadi sukan sekolah – Hannah
DUYONG 30 Jun – Kementerian Belia Sukan (KBS) meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyegerakan penyelarasan klasifikasi sukan tempur sebagai sukan di sekolah berbanding sekadar aktiviti badan beruniform sebelum ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, ia bagi melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia di masa akan datang.
Katanya, klasifikasi oleh KPM itu bagi memastikan atlet sukan tempur seperti wushu, taekwando, karate dan silat di sekolah mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Jadi bila kanak-kanak ini tamat sekolah, mereka mahu mendapatkan sijil (sukan). Sijil itu untuk menyatakan anda aktif dalam sukan (tempur) itu sangat penting untuk mereka.
“Selagi penyelarasan itu tidak ada, tidak berlaku, kita akan rugi. Murid dan pelajar akan pilih sukan lain dan mereka tidak akan pilih wushu (dan sukan tempur lain),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Wushu KPM-WFM ke-12, 2023 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt.
Dalam pada itu, Hannah berkata beliau mengharapkan menerusi kejohanan seumpama itu dapat melahirkan lebih ramai atlet dan pelapis baharu dalam sukan wushu.
“Kejohanan ini melibatkan lebih 500 penyertaan dari 13 negeri dan tiga wilayah, di mana menerusi pertandingan seumpama ini kita harap lebih ramai pelapis dapat dilahirkan untuk mengharumkan nama negara khususnya dalam sukan wushu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.