Sorting by

×

Segera selesaikan isu projek perumahan Bukit Serindit

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Februari – Kerajaan Negeri akan memastikan permasalan timbul antara pembeli dan pemaju sebuah projek perumahan di Bukit Serindit diselesaikan segera.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, satu perjumpaan bersama pemaju akan diadakan minggu ini bagi menyemak imbang permasalahan antara kedua-dua belah pihak.

Katanya, satu lawatan juga akan diadakan ke tapak projek berkenaan bagi melihat sendiri isu yang dibangkitkan oleh pihak pembeli.

“Ketika dihubungi pihak pemaju setuju untuk berjumpa, saya difahamkan projek itu kini berada pada fasa tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period) yang mana pemaju akan membetulkan semula sekiranya ada permasalahan.

“Cuma kita difahamkan ini adalah isu ketidakpuasan hati pembeli terhadap projek dengan kadar yang mereka beli. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan pastikan isu ini segera ditangani,” katanya pada Majlis Cabutan Undi Reruai dan Sidang Media Ekspo RMM Negeri Melaka 2024 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk Tpr. Murad Husin dan Timbalannya, Salleh Hamidom.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, Kerajaan Negeri tidak merancang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas berhubung isu berkenaan dan ia akan diselesaikan secara bersama oleh kedua-dua belah pihak.

“Kita menyifatkan perkara ini adalah kes terpencil yang berlaku dalam projek perumahan di Negeri Melaka dan tidak berhasrat untuk menubuhkan jawatankuasa.

“Apa yang kita mahu selesaikan adalah melihat semula apa pemaju janjikan kepada pembeli dan inilah peranan LPM untuk pastikan semua pemaju mengikuti piawaian ditetapkan, selain itu apa mereka janjikan kepada rakyat perlu ditepati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1446
Kongsi :
Previous post Kerajaan Turkiye biaya kos bina rumah transit Pengkalan Batu
Next post Sasar bina lebih banyak PAWE
Ubah saiz-+=