Segera hubungi 997 jika jadi mangsa ‘scam’
SERI NEGERI 7 Mac – Masyarakat dinasihatkan untuk segera menghubungi talian 997 jika berdepan sebarang perkara mencurigakan berhubung jenayah siber seperti penipuan dalam talian dan sebagainya.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, talian secara terus ke Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) itu akan memberikan respon pantas untuk membantu mangsa terlibat dalam aktiviti penipuan.
Jelas beliau, NSRC yang ditubuh dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa industri kewangan dan telekomunikasi mampu dijadikan sebagai pusat hentian setempat bagi mengatasi gejala penipuan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
“Jika seseorang mendapati berlaku sebarang jenayah berbentuk ‘scam’ ini mereka boleh saja terus menghubungi 997 dan sekurang-kurangnya talian ini dapat melakukan tindakan terus seperti berhubung dengan pihak bank untuk menghentikan aliran tunai di bank yang berlaku.
“Panggilan ini juga boleh dibuat untuk menyemak sebarang mesej mencurigakan yang diterima menerusi whatsapp atau sebarang panggilan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fairul Nizam memaklumkan, Kerajaan Negeri akan menggerakkan kempen kesedaran berhubung isu penipuan siber di Melaka akan terus diperluaskan kepada supaya masyarakat lebih cakna dan tidak menjadi mangsa seterusnya.
“Antara insiatif yang akan dilaksanakan termasuk menganjurkan kempen kesedaran melibatkan pelbagai agensi di peringkat awam mengenai keselamatan siber, risiko penipuan dalam talian dan langkah pencegahan daripada menjadi mangsa kepada jenayah ini.
“Kerjasama daripada pelbagai agensi ini adalah untuk bersama-sama menyelaras usaha kesedaran setiap lapisan masyarakat untuk memahami ancaman jenayah siber dan bertinfak proaktif untuk melindungi mereka sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.