Segera buat aduan jika pekerja dikenakan bayaran untuk PIKAS – MITI
BUKIT KATIL 25 Julai – Pekerja perlu membuat aduan sekiranya majikan mengenakan sebarang bayaran bagi menyertai Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada aduan berkaitan diterima pihaknya.
“Sekiranya berlakunya situasi ini (diminta membayar) pekerja perlu segera membuat aduan di talian ‘hotline’ atau emel yang tertera di laman web kami untuk tindakan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di Bayou Lagoon Convention Centre, Bukit Katil, di sini hari ini.
Hadir sama, EXCO Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Nasrul Menhat.
Untuk rekod, PIKAS yang dilancarkan pada 16 Jun lalu adalah kolaborasi strategik antara pihak awam dan swasta bagi mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan.
Menerusi PIKAS, kerajaan menyediakan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan membiayai dan menguruskan PPV, sekali gus mengurangkan kos pentadbiran pemberian vaksin yang perlu ditanggung kerajaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.