SEGERA BAIK PULIH TEBING RUNTUH – MPHTJ
DURIAN TUNGGAL 17 Oktober – Pemaju perumahan Taman Bukit Tambun Perdana 2, digesa supaya menyegerakan kerja-kerja membaik pulih tebing di penempatan itu yang runtuh akibat hujan lebat pada Selasa.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, runtuhan itu adalah kejadian kali kedua membabitkan lokasi yang sama, berikutan itu pemaju diminta agar lebih serius dalam melaksanakan kerja pembaikan agar perkara sama tidak berulang.
“Runtuhan dalam kejadian sebelum ini sudah dibaiki oleh pihak pemaju, namun tidak dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang kami tetapkan kepada mereka.
“Jadi saya menggesa pihak pemaju melaksanakan segera pembaikan jangka pendek dengan kerja-kerja awal harus dimulakan hari ini (semalam),” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu Sapiah bersama Ahli Majlis MPHTJ Kawasan Durian Tunggal, Clr. Farouk Md Esa; Pengarah Kejuruteraan MPHTJ, Ir. Zainal Yusoff; Pegawai Perancang Bandar dan Desa MPTHJ, Rozaidi Mahat serta pegawai jabatan berkenaan turun padang untuk meninjau kesan runtuhan di taman terbabit pada petang Selasa.
Sapiah, meminta supaya pihak pemaju dan perunding terlibat mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kejuruteraan MPHTJ berhubung perancangan pembaikan jangka panjang tebing berkenaan dengan memperincikan kerja-kerja perlu dilaksanakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.