Sorting by

×

SEEKOR LEMBU ‘DITUMBANGKAN’, TOK SIDANG ‘MEREWANG’ UNTUK KENDURI RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 30 Disember – Lebih 150 Sidang Kampung ‘merewang’ menyediakan pelbagai hidangan percuma untuk orang ramai pada program Kenduri Rakyat bersempena Festival Masakan Warisan Melaka 2024 berlangsung di Muzium Rakyat, di sini, pada Sabtu dan Ahad.

Yang Dipertua Persatuan Ketua-Ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka, Shaari Abu berkata secara keseluruhan terdapat 300 Sidang Kampung di seluruh Melaka namun untuk program kali ini hanya 150 orang sahaja yang terlibat.

Katanya, Sidang-sidang itu juga telah ditugaskan untuk menjadi pembawa juadah atau peramu saji menghidangkan makanan.

“Buat julung kalinya, sidang-sidang berhimpun dan berkampung memasak untuk orang ramai, khas untuk Kenduri Rakyat Festival Masakan Warisan Melaka 2024.

“Kami menyambut baik program seumpama ini, sedikit sebanyak kita mengimbas kenangan di kampung-kampung dahulu merewang memasak setiap kali ada majlis.

“Lebih istimewa lagi, kita ‘tumbang’ seekor lembu untuk menu kenduri rakyat seperti masakan asam pedas. Masakan yang dimasak turut dihidang dalam dulang seperti orang dulu-dulu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambah Shaari, pihaknya menerima banyak pujian hasil daripada menu Kenduri Rakyat yang disajikan selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad.

“Pada Sabtu kami menyediakan asam pedas ayam dan telur itik masak lemak, manakala untuk Ahad juadahnya lebih banyak seperti asam pedas daging, kari ikan, serta pelbagai lagi.

“Bagi kedua-dua hari ini kami sediakan manakan untuk 1,000 pengunjung. Syukur semua gembira dan pujian kami terima daripada orang ramai.

“Menerusi festival ini saya lihat, kita dapat beri pendedahan mengenai makanan warisan kita di Melaka kepada pelancong luar,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post DUA KEMATIAN AKIBAT DENGGI DI MELAKA SETAKAT NOVEMBER
Next post ‘DIGITAL CREATOR MASTERCLASS MHI MILIKI AURA TERSENDIRI’
Ubah saiz-+=