Sedih raya seorang diri, setiap hari ‘tunggu’ Ismail Sabri
KUALA SUNGAI BARU 12 Mei – “Sampai ke hari ini, setiap petang makcik akan tertunggu-tunggu dan mendoakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berita baik mengenai kebenaran meraikan Hari Raya Aidilfitri.
“Makcik harap sangat, semua enam anak menantu dan 18 cucu di perantauan dapat pulang menemani makcik yang tinggal seorang diri di pagi raya esok,” kata ibu tunggal, Rokiah Yusop, 71.
Itu kesedihan dan harapan diluahkan warga emas berkenaan apabila mengenangkan terpaksa meraikan Syawal seorang diri seperti tahun lalu apabila semua anak-anaknya tidak dapat pulang ke kampung.
Menurutnya, sejak awal Ramadan, sehingga ke hari ini, dia tidak putus-putus mendoakan virus ini berkurangan supaya anak menantu dan cucu dapat pulang beraya bersama sekaligus melepaskan rindu dua tahun tidak bertemu.
“Namun apakan daya, nampaknya tahun ini terpaksalah beraya seorang diri kerana semua anak-anak masing-masing tinggal Shah Alam, Puchong, Kuala Lumpur dan Semabok di daerah Melaka Tengah.
“Tak tahulah kalau petang ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan (Keselamatan) akan umumkan perubahan iaitu membenarkan rentas daerah jadi dapatlah anak di Semabok beraya bersama makcik,” katanya yang masih menaruh harapan.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin memgumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula hari ini hingga 7 Jun sekaligus menyaksikan umat Islam tidak dapat melakukan aktiviti rentas negeri dan daerah bagi menyambut Aidilfitri.
Rokiah yang kematian suami 11 tahun lalu berkata, walaupun reda dengan keputusan kerajaan itu demi melandaikan lekuk kes harian COVID-19, jauh di sudut hatinya masih menggunung harapan meraikan Aidilfitri bersama anak-anak dan cucu tersayang.
“Selalunya, waktu-waktu sebegini rumah makcik sudah riuh dengan telatah cucu, tiga anak dan menantu yang masing-masing sibuk mengemas rumah untuk persiapan raya.
“Namun sejak dua tahun ini terasa sunyi sekali, tapi makcik akan buatlah juga rendang cili api ayam dan daging dan nasi impit sikit mana tahu tiba-tiba hari ini kerajaan umum benarkan rentas daerah dan negeri,” katanya menahan sebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.