Sedih kalau lihat anak murid ‘tak jadi orang’
KUALA SUNGAI BARU 16 Mei – “Ramai anak murid yang saya lahirkan menempa nama dalam pelbagai bidang.
“Namun saya pasti berasa sedih kalau ada antara mereka tidak jadi orang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.
Rosli sebelum ini berkhidmat sebagai guru selama 25 tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Linggi tidak pernah lelah mendidik anak muridnya menjadi insan berguna.
Baginya, semangat sebagai seorang guru masih ada di dalam diri namun kini tanggungjawabnya lebih besar bagi memimpin kawasannya agar mampu membentuk sebuah masyarakat hidup dalam perpaduan yang seiring dengan kemajuan.
“Syukur sampai sekarang orang masih panggil saya ‘Cikgu Rosli’ menunjukkan mulianya pekerjaan sebagai seorang guru.
“Apabila bersua dengan bekas anak murid mereka masih menghormati saya malah saya lebih selesa dipanggil Cikgu berbanding sebagai Yang Berhormat (YB).
“Suasana dulu dan kini cukup berbeza dan cabarannya begitu kua, sebelum ini saya hanya perlu menjaga anak murid namun kini seluruh peringkat masyarakat perlu diberi perhatian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Bekas guru Bahasa Melayu itu menganggap kejayaan dicapai sekarang adalah hasil doa daripada anak-anak muridnya sebelum ini.
“Saya masih meridukan ucapan ‘selamat pagi cikgu’, Assalamualaikum cikgu’ dan disambut anak-anak murid setiap hari ketika di sekolah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.