Sorting by

×

Sedia turun padang bantu warga emas daftar vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PANTAI KUNDOR 15 Mac – Wakil rakyat dan ketua masyarakat di negeri ini menyambut baik saranan Ketua Menteri agar membantu warga emas dan golongan rentan membuat pendaftaran vaksin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, antara inisiatif dijalankan ialah dengan membantu warga emas mendaftar vaksin di Kompleks Japerun Pantai Kundor.

Selain itu, beliau turut turun padang dan menggerakkan kesemua ketua masyarakat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Kampung (JPKK) di Pantai Kundor untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan sedemikian, khasnya membabitkan mereka yang tidak celik teknologi maklumat.

“Selepas mengenal pasti kita sendiri akan pergi ke rumah-rumah untuk mendaftarkan suntikan vaksin kepada mereka yang memerlukan.

“Kita akan pastikan tidak akan ada yang tercicir dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam usaha memerangi pandemik ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Pengkalan Perigi, Azman Mamat berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti seramai 100 warga emas yang tidak mempunyai akses untuk mendaftar suntikan COVID-19.

“Kita akan adakan satu hari khas di balai raya dan sediakan komputer untuk membantu warga emas mendaftar suntikan COVID-19 secara dalam talian.

“Bagi yang tidak dapat hadir, kita akan turun ke rumah-rumah secara berperingkat atau bila-bila masa yang diperlukan untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta wakil rakyat dan ketua masyarakat di setiap peringkat membantu warga emas mendaftar suntikan vaksin berikutan sehingga kini hanya sekitar 24 peratus sahaja rakyat di negeri ini sudah berbuat demikian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

320
Kongsi :
Previous post MCA Melaka lancar kempen kesedaran vaksin
Next post Tiada nohtah nasib nelayan
Ubah saiz-+=