Sorting by

×

Sedia ‘outlet’ pasarkan produk pesakit Perkeso

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DURIAN TUNGGAL 15 Januari – Kerajaan Negeri bercadang untuk membuka ‘outlet’ khusus bagi membantu individu sedang menjalani pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) memasarkan produk hasil sentuhan tangan mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, produk berkenaan adalah hasil kemahiran vokasional yang didedahkan kepada individu berkenaan sepanjang menjalani pemulihan.

Kata Ketua Menteri, antara bidang kemahiran vokasional disediakan di PRPTAR adalah kulinari, elektronik, pembaikan dan pemulihan teknologi komputer dan telefon serta mekanik motosikal.

“Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), saya cadangkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk sediakan outlet khusus agar kita dapat bantu luaskan lagi pasaran produk dihasilkan.

“Perkeso mempunyai skim lebih baik iaitu kemahiran vokasional yang memberikan peluang kedua kepada mereka (pencarum) untuk berjaya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ke PRPTAR, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee sem; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Zahari Abd Kalil; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata produk kulinari berkualiti tinggi dilihat antara yang boleh diberi perhatian dan dikembangkan lagi oleh Perkeso.

“Kita mahu melatih mereka (pesakit) kembali semula bekerja dalam bidang luar daripada kebiasaan kerana mereka mungkin telah menjadi orang kurang upaya (OKU).

“Maka Kerajaan Negeri menggalakkan mereka mengikuti kursus kemahiran vokasional dan kita akan menyediakan beberapa tempat untuk mereka pasarkan produk dihasilkan sepanjang proses pemulihan.

“Saya akan berunding dengan Perkeso untuk membuka outlet bagi memasarkan produk daripada pusat pemulihan ini untuk dijadikan bahan perniagaan dalam TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

928
Kongsi :
Previous post Pusat pengumpulan hasil pertanian di Asahan
Next post Tiga lagi pusat rehabilitasi bakal dibina
Ubah saiz-+=