Sedia khidmat kaunseling bantu mangsa kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Julai – Empat beranak yang terlibat nahas jalan raya di Malim, 6 Julai lalu, akan diberikan khidmat kaunseling khas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, bantuan itu merupakan antara inisiatif pihaknya bagi memberikan semangat kepada mangsa untuk kembali kuat meneruskan kehidupan.

Selain itu, katanya, Japerun Pantai Kundor bersama UMNO Bahagian Tangga Batu juga telah melancarkan tabung derma bagi membantu mangsa yang kini berada di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling.

“Sebaik mengetahui kisah dialami keluarga ini daripada Pengerusi JPKK, kita telah melancarkan tabung dan alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan lebih RM2,000 dan disampaikan terus kepada mangsa bagi meringankan beban yang dialami.

“Selain itu, Japerun Pantai Kundor juga akan membantu mereka mendapatkan bantuan daripada agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan lain-lain agensi berkaitan.

“Diharapkan, bantuan ini dapat memberikan sinar cahaya kepada mangsa untuk kembali kuat dan sihat seperti sedia kala,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ziarah kasih dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada mangsa kemalangan, Muhammad Faizul Hisham, 27.

Dalam kejadian 6 Julai lalu, Muhammad Faizul bersama isteri yang baharu pulang bekerja ‘shift’ malam terbabit kemalangan di Malim selepas mengambil dua anak mereka di rumah pengasuh di Tanjung Minyak.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Faizul mengalami patah tangan dan bahu, selain pecah pembuluh darah dan terpaksa menjalani pembedahan.

Isterinya pula mengalami pendarahan di kepala dan masih dirawat di Hospital Melaka, manakala dua anak mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

122
Kongsi :
Previous post Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Melaka sasar 4,000 peserta
Next post ‘Budak STPM pun hebat juga’
Ubah saiz-+=