Sebuah Pesta Kopi Kueh Melaka destinasi kaki kopi
BANDA HILIR 21 Julai – Bagi peminat kopi tidak kira kopi ‘kayangan’ mahupun kopi ‘marhaen’, program Sebuah Pesta Kopi Kueh Melaka adalah ‘lubuk’ untuk mereka merasai pelbagai jenis minuman berkafein.
Penganjur program, Haneef Ismail berkata, penganjuran selama tiga hari program berakhir hari ini di sebuah pusat beli-belah, menghimpunkan sebanyak 15 gerai yang diusahakan oleh usahawan kopi tempatan.
Katanya, tujuan pesta itu diadakan adalah bagi mengetengahkan inisiatif usahawan tempatan selain menonjolkan seni dan kreativiti dalam pembuatan kopi.
“Menerusi program ini kita ingin mendedahkan orang ramai terutamanya penduduk Melaka tentang kopi selain mengetengahkan barisan barista tempatan yang ada.
“Pengunjung atau kaki kopi bukan sahaja dapat merasai kopi kesukaan mereka tetapi mereka akan diberi penerangan berkaitan kopi oleh pengusaha,” katanya ketika kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, selain menempatkan gerai kopi, pada program itu juga terdapat gerai kuih tradisional dan pastri pelbagai latar belakang.
“Sambutan amat memberangsangkan kerana selain dapat merasaikan kopi pengunjung berpeluang menikmati pelbagai kuih serta pastri.
“Sempena program ini juga kita turut adakan pertandingan ‘latte art’ dan barista bagi mencungkil bakat baharu selain turut mempromosikan Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Terdahulu, program itu turut mendapat kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan (BBP), SIP Coffee dan Komuniti Patriot Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.