Sebanyak 6,000 ekor babi akan dihapus, elak penularan demam babi
MASJID TANAH 25 Dis- Kira-kira 6,000 ekor babi yang dijangkiti wabak ‘African Swine Fever’ (ASF) atau demam babi Afrika di 35 ladang penternakan kawasan itu akan dihapuskan.
Tindakan itu bagi mengekang penularan wabak berkenaan kepada 41,000 ekor populasi babi yang lain di kawasan itu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, perkara itu bagaimanapun akan dinilai dan diputuskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum tindakan berkaitan dibuat dalam masa terdekat.
“Setakat ini 6,000 ekor babi disyaki dijangkiti ASF dan cadangan kita adalah untuk menghapuskan haiwan ini dalam masa terdekat bagi memastikan supaya ianya tidak terus merebak.
“Apa jua tindakan itu akan dilakukan dalam masa terdekat dan pihak Veterinar serta kementerian juga sedang membuat pemantaun rapi terutamanya terhadap tujuh ladang ternakan yang dikesan berlaku penularan penyakit ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Pelepasan Misi Pasca Banjir di Kompleks JAPERUN DUN Ayer Limau, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad Hamzah berkata, orang ramai terutamanya penduduk tempatan bagaimanapun tidak perlu panik dengan penularan itu kerana ianya tidak akan membabitkan manusia dan berada dalam keadaan terkawal.
Katanya, larangan membawa keluar dan masuk haiwan itu dari kawasan Paya Mengkuang juga sudah dikeluarkan selain penyembelihan juga hanya di rumah sembelih yang diluluskan sahaja tanpa membawa keluar daging babi berkenaan.
“Kita harap rakyat bertenang kerana penyakit ASF ini tidak akan melibatkan manusia dan disini juga ada 35 ladang ternakan dan yang terkesan hanya tujuh ladang.
“Semua penternak juga memberi kerjasama amat baik bagi membolehkan pegwai Veterinar menjalankan siasatan, pengawalan dan sebagainya,”ujarnya.
Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor mengesahkan berlaku penularan ASF di tujuh ladang babi komersial di Paya Mengkuang di Masjid Tanah di sini.
Katanya, pengesanan penyakit berkenaan ekoran penyiasatan dijalankan pihak JPV susulan laporan penternak babi terlibat serta pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Dis.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.