Sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 akan dibekal ke Sabah bulan ini- Khairy
KOTA KINABALU 6 Sept – Sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 akan dibekalkan ke Sabah bulan ini dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, dengan penghantaran bekalan vaksin itu, kerajaan yakin Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 dos hingga 70,000 dos sehari seterusnya mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini.
“Kita masih lagi berpegang kepada sasaran 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir September ini dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir Oktober seperti sasaran nilai ambang ditetapkan.
“Bagi mencapai sasaran tersebut kita akan perbanyakan program ‘mobile outreach’. Kerajaan negeri (Sabah) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan merancang lebih 130 program outreach dalam bulan September dan Oktober ini,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Terdahulu beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah di sini.
Khairy berkata setelah mencapai kadar 80 peratus penduduk dewasa divaksin pada Oktober ini, Sabah boleh memulakan program pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan remaja di negeri ini, bagaimanapun ia bergantung kepada pencapaian vaksinasi semasa.
Ditanya tentang keperluan tinggi vaksin COVID-19 dos tunggal CanSino terutama untuk penduduk di pedalaman Sabah, beliau berkata Malaysia akan menerima 300,000 dos vaksin itu pada bulan ini dan Sabah akan menerima agihan sepatutnya daripada jumlah tersebut.
“Mengikut jadual kita akan terima untuk seluruh Malaysia 100,000 dos (vaksin CanSino) minggu depan dan 200,000 dos lagi pada akhir bulan ini, jumlah 300,000 dos ini disebabkan bekalan tidak mencukupi di peringkat antarabangsa.
“Pada Oktober kita jangka lebih banyak lagi (vaksin CanSino sampai) sudah pasti Sabah akan menjadi antara negeri keutamaan untuk vaksin dos tunggal ini,” katanya.
Beliau berkata bagi membantu Sabah menghadapi pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan akan menghantar peralatan perubatan tambahan terdiri daripada 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak alat kawal atur oksigen dan lima kotak ubat-ubatan COVID-19 yang dijadual tiba esok.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.