Sebak terima ‘syurga’ baharu

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MASJID TANAH 14 Ogos – “Syukur alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak yang tak mampu kami balas budi baik pertolongan mereka,”.

Itu luahan sebak Norisah Tahir, 80 yang terharu setelah menerima rumah percuma disampaikan sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di sini hari ini selepas rumah asal warisan empat generasi itu musnah dalam kebakaran pada April lalu.

Menurut warga emas itu, rumah asal dibina arwah neneknya di Kampung Durian Daun, di sini merupakan teratak kelahirannya yang menyimpan 1,001 kenangan.

NORISAH Tahir

“Sebelum ini siang malam mak cik selalu terbayang rumah lama sampai tidak boleh lelapkan mata mengenangkan terlalu banyak memori lalu.

“Syukur alhamdulillah terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri atas bantuan diberikan ini yang tidak mungkin saya mampu membinanya jika tidak diberikan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas menerima penyerahan replika kunci di sampaikan Sulaiman di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembinaan Rumah Baharu Lembaga Perumahan Melaka (LPM) hari ini.

SULAIMAN menyerahkan replika kunci rumah kepada Nurisah menggantikan rumah pusaka miliknya di Batu 21 Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, yang terbakar dalam kejadian 15 April lalu.

Rumah yang didiami Norisah dan keluarga anaknya, Siti Faisma Basir telah siap sepenuhnya dibina di lokasi tapak rumah lamanya dengan kelengkapan dua bilik membabitkan kos keseluruhan RM40,000.

Mengimbas kembali kejadian 15 April lalu, Siti Faisma menceritakan tragedi berlaku pada jam 2.30 pagi membuatkannya tinggal sehelai sepinggang.

“Sungguh banyak kenangan pada rumah warisan berusia lebih 80 tahun ini namun apakan daya hidup perlu diteruskan dan berterima kasih kepada semua pihak yang tak putus-putus menghulurkan bantuan makanan, kewangan serta pelbagai sokongan lain sejak kejadian itu,” luahnya.

Views:

360
Kongsi :
Previous post Gobok Kongsi Rezeki medium peranan masyarakat
Next post Pelajar perlu divaksin sebelum sekolah dibuka – Rina Harun
Ubah saiz-+=