Sebak terima rumah baharu percuma disampaikan Ketua Menteri

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER LIMAU 10 Jan. – Terpancar riak kegembiraan di wajah seorang warga emas apabila mendapat sebuah rumah baharu selepas kediaman pusaka keluarganya musnah dalam kebakaran tujuh bulan lalu.

Tiada kata yang dapat diungkapkan Salmah Kasim apabila menjadi penerima pertama di negeri ini mendapat bantuan perumahan di bawah Program Tangunggjawab Sosial (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu.

Betapa tidak, bantuan rumah yang diterima secara percuma itu adalah model reka bentuk baharu dilengkapi tiga bilik tidur dan satu bilik air bernilai RM42,370.

Penyerahan kunci rumah berkenaan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali Sulaiman semalam dalam program Lawatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sekali gus memberi nafas lega buat Salmah bersama seorang anak dan empat cucunya yang lain.

Menurut Salmah, dia begitu bersyukur dan berterima kasih dengan tindakan pantas kerajaan negeri membina sebuah rumah baharu tanpa sebarang bayaran.

Mengimbas semula kejadian Jun tahun lalu, dia berkata, insiden itu adalah peristiwa yang tidak dapat dilupakan keluarganya yang kehilangan seluruh harta benda akibat kebakaran yang berpunca daripada litar pintas.

“Amat sedih untuk saya kenang kembali kerana peninggalan yang diwarisi dari Allahyarham bapa selepas bersara sebagai tentera membina sebuah rumah limas di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok China pada tahun 1951.

“Rumah warisan keluarga berusia hampir 70 tahun hangus dijilat api dan kami tidak dapat menyelamatkan apa pun ketika itu namun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Salmah berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi letupan dan terus membuka pintu di beranda dan terkejut melihat nyalaan api pada wayar elektrik merebak memasuki dalam kawasan rumah.

“Ujian berat itu akhirnya menyebabkan kami terpaksa menumpang berteduh di surau berhampiran rumah semalaman sebelum diberi perhatian pihak berwajib bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya sebak.

Menurutnya, kejadian berkenaan menerima perhatian Ketua Menteri, yang segera melawat keluarganya sebelum menggesa pihak terbabit termasuk LPM bagi membina sebuah rumah buat keluarganya.

“Akhirnya kami bersyukur apabila mempunyai rumah sendiri dan terima kasih kepada Ketua Menteri serta seluruh pihak yang amat prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post A Kingdom without Soldiers: Communication throughout the Alam Minangkabau
Next post Hospital Melaka penuh: Tiada pengecualian, pesakit COVID-19 akan terus dihantar ke MAEPS – KM
Ubah saiz-+=