Sorting by

×

Sebak selepas ditawarkan kerja

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER LIMAU 8 Julai – “Meskipun tempat kerja nanti jauh dari rumah dan luar bidang kursus pengajian sebelum ini, atas dasar mahu mencari pengalaman saya tetap terima.

“Saya baru menamatkan latihan industri dan sekarang ini sedang mencari kerja. Selain berdikari dan bantu keluarga matlamat saya adalah mahu menyimpan wang untuk sambung pengajian ke peringkat ijazah pula selepas ini,” kata Nur Fatihah Zainal Abidin, 21.

Dia antara 42 pencari kerja yang ditawarkan pekerjaan selepas menjalani sesi temuduga pada Karnival Kerjaya Anak Muda My Future Life Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau 2023.

Pemegang Diploma Animasi dari sebuah universiti tempatan itu meluahkan rasa syukur dan sebak selepas ditawarkan pekerjaan sebagai penyelia di sebuah pasar raya hasil percubaan pertamanya pada sesi temuduga.

“Apabila ibu dan ayah ajak datang ke karnival ini saya ikut sahaja kerana ingin mencuba nasib selain merasai pengalaman hadiri sesi temuduga.

“Tetapi tidak sangka selepas selesai ditemuduga saya terus ditawarkan kerja dan ia amat mengujakan,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, perbezaan bidang atau skop tugasan tidak akan jadi halangan buatnya untuk melangkah ke dunia pekerjaan.

“Bagi saya tidak jadi masalah kerana pengalaman ini pasti berguna kelak, sebagai pendatang baru banyak yang perlu dipelajari,” katanya.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 3.53.52 PM
NUR Ain Nasri antara pencari kerja yang hadir ke Karnival Kerjaya Anak Muda My Future Life Dewan Undangan Negeri (DUN) 2023.

Sementara itu seorang lagi pencari kerja, Nur Ain Nasri, 24, berkata, walaupun belum tamat pengajian secara rasmi namun dia ingin membuat persediaan awal dengan mencari pekerjaan kerana sedar terdapat banyak saingan.

“Sekarang saya sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat pengeluar kenderaan di Alor Gajah dengan berbaki sebulan sahaja lagi, berikutan itu saya memulakan langkah lebih awal untuk dapatkan pekerjaan.

“Ini kerana saya sedar ramai graduan sedang berlumba-lumba mencari pekerjaan, jadi saya tidak boleh leka selain perlu mencuba apabila ada peluang seperti ini,” katanya.

Dia yang menetap di Ayer Molek berkata, walaupun lokasi penganjuran karnival jauh dan mengambil masa kira-kira sejam itu tidak menjadi halangan kerana peluang seperti ini tidak selalu ada.

WhatsApp Image 2023-07-08 at 3.53.52 PM (1)
PENCARI kerja membuat pendaftaran sebelum melalui proses temuduga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7142
Kongsi :
Previous post Karnival kerja bantu kurangkan pengangguran anak muda
Next post 63 tandas awam di Melaka bersih, menawan dan wangi
Ubah saiz-+=