Sebak sambut Deepavali dalam banjir
GADEK 28 Oktober – “Biarpun dah bertahun-tahun hadapi banjir tapi ini kali pertama kami ‘beraya’ dalam musim banjir sejak 30 tahun menetap di rumah pusaka ini,” kata seorang mangsa banjir, R. Baskal,51.
Menurutnya yang menetap di Jalan Keretapi Lama, bencana yang berlaku di kediamannya membuatkan dia bersama keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan berikutan peningkatan air mendadak separas dada telah menenggelamkan rumahnya.
“Kejadian berlaku pada hari kedua selepas Deepavali di mana hujan lebat berlarutan lebih sejam berlaku seawal jam 3 pagi ketika itu.
“Sanak saudara semua yang tidur terkejut dan terpaksa bangun awal pagi mengemaskan barangan untuk dipindahkan namun ada juga beberapa barang rumah tidak mampu diselamatkan.
“Segala barang yang digunakan untuk meraikan Deepavali ditenggelami air termasuklah kuih-muih raya yang digunakan untuk menghidangkan tetamu yang datang rosak akibat banjir.
“Mujur di sebelah halaman rumah saya baharu selesai menambak tanah yang tinggi dan dijadikan kawasan untuk meletakkan segala barangan rumah yang sempat diselamatkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia mengungkapkan kesedihannya apabila melihat rumahnya yang terletak kira-kira tiga meter dari sungai terpaksa berdepan kerugian lebih-lebih lagi ketika musim perayaan kali ini yang membawa erti besar buat keluarganya.
“Terpaksalah kita relakan sebab ini macam perkara biasa bagi kita di sini, dah banyak kali berlaku tapi sama sahaja.
“Ia disebabkan air deras dari Tampin disalurkan ke sungai di belakang rumah, jadi kita harap akan ada penambahbaikan berlaku selepas ini seperti melebarkan dan mendalamkan sungai di kawasan kampung kami,” katanya.
Berdepan situasi sama, seorang penduduk di Kampung Pengkalan terpaksa gigit jari sekali lagi biarpun usaha mengubah suai rumahnya dengan menaikkan lantai rumah kira-kira lima kaki bagi mengelakkan banjir tetap tidak mampu diselesaikan.
Kamaruddin Mohamad Sab, 60, meluahkan dia sekeluraga terpaksa hidup dalam ketakutan setiap kali hujan lebat berterusan berlaku dan terpaksa mengambil langkah awal biarpun lantai rumahnya kini ditambak lebih tingggi dari struktur asalnya.
“Sejak duduk sini setelah pindah dari Kuala Lumpur, seringkali hadapi banjir, dalam tempoh lima tahun apabila dah tak tahan kami sekeluarga mengubah suai rumah dengan menambak dan menaikkan lantai kira-kira lima kaki, tapi bila banjir ia umpama tiada kesudahan.
“Tak boleh nak buat apa dah, selalu punca daripada perparitan tapi kerja-kerja membaik pulih perparitan dah dijalankan namun isu banjir tetap berlaku.
“Dalam tempoh setahun ada dalam dua kali berlaku banjir, kadang-kadang bila dah surut kita pun sudah kemas tapi sekali lagi banjir berlaku,” katanya.
Sebak menceritakan keadaan itu, meskipun telah diubah suai kejadian banjir paling teruk beberapa tahun lalu tidak akan dilupakannya apabila ditenggelami air separas leher.
“Pernah sekali berlaku air naik sampai paras leher, rumah semua tenggelam.
“Setiap kali banjir kita terpaksa redha dengan apa yang berlaku dan proses nak ambil untuk mengemas rumah juga makan dua tiga hari untuk disiapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.