SDSI akan diberikan suntikan baharu, promosi produk usahawan
AYER KEROH 7 Oktober – Penganjuran Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bakal diberikan suntikan baharu sebagai usaha kerajaan membantu usahawan di negara ini mempromosikan produk yang dihasilkan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, SDSI yang dihentikan sementara selepas tahun 2019 akan diangkat semula dan ditambah baik bagi memastikan SDSI sebagai medan mempromosikan produk usahawan di negara ini.
Berikutan itu katanya, pihaknya akan mengangkat satu kertas kerja SDSI untuk dibentangkan di kabinet agar usaha membantu mempromosikan produk usahawan desa dapat dicapai.
“Kita berharap dengan penganjuran ini bukan hanya untuk mempamer dan menjual produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan yang telah kita bangunkan tetapi lebih penting untuk kita bergerak ke hadapan supaya lebih ramai usahawan di seluruh negara kita dapat dibangunkan terutama yang mempunyai identiti bercorakkan komuniti setempat yang ada keunikan dia tersendiri.
“Di peringkat kementerian kita akan memberi nafas baru, di mana identiti tambahan kepada program ini akan diperkasa dan kita akan angkat kepada perbincangan Jemaah Menteri supaya pada tahun tahun akan seterusnya kita dapat melihat satu penambahbaikan kepada program ini.
“Kerana apa yang kita lihat setakat hari ini ia berlangsung di Melaka, kita telah berjaya membantu para usahawanmenjana jualan lebih daripada RM3.8 juta dengan jumlah pengunjung seramai lebih 6,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Showcase SDSI MADANI Peringkat Kebangsaan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin yang turut mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Timbalan Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong serta tetamu lain.
Terdahulu, Showcase SDSI Madani yang julung kali dianjurkan semula setelah negara dilanda pandemik COVID-19 telah mengumpulkan seramai 145 usahawan seluruh negara bagi mempromosikan produk jualan antaranya pelbagai produk berteraskan kraftangan, makanan, makanan kesihatan serta pelbagai lagi berlangsung di Dewan MITC sejak semalam hingga Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementeriannya bersedia untuk terus bekerjasama bersama Kerajaan Negeri bagi melangsungkan penganjuran SDSI pada siri berikutnya sebagai sekali lagi memegang nama tuan rumah di peringkat kebangsaan.
Namun ujarnya, pihaknya turut berpendirian terbuka terhadap negeri-negeri lain yang ingin membuka tawaran sebagai tuan rumah pada siri berikutnya.
“Setakat ini kita tidak mendapat permintaan dari mana-mana negeri untuk menjadi tuan rumah dan secara tradisinya negeri Melaka menjadi tuan rumah peringkat kebangsaan dan kita tidak ada halangan untuk teruskan penganjuran di sini.
“Macam penganjuran tahun ini, kita mahu membantu kerajaan negeri ini mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan sedikit sebanyak showcase ini juga telah memainkan peranannya menghebahkan promosi TMM2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.