‘SCAMMER’ KAUT HAMPIR RM76 JUTA DI MELAKA TAHUN INI
BANDARAYA MELAKA 13 Disember – Hampir RM76 juta kerugian membabitkan penipuan dalam talian direkodkan di Melaka, sepanjang tahun ini.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, statistik jenayah itu diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 1,845.
Katanya, penipuan dalam talian ini membabitkan bukan sahaja pembelian dalam talian dan ‘Love Scam’ tetapi juga pelaburan dan penipuan insurans.
“Sehingga 10 Disember, kerugian yang dilaporkan akibat penipuan dalam talian ini sejumlah RM75,889,427.27 dengan keseluruhan kes 1,845 kes dan tangkapan yang dibuat oleh pasukan polis sebanyak 1,119.
“Jumlah kerugian yang tertinggi direkodkan membabitkan nilai RM5.1 juta iaitu penipuan insurans dan pelaburan berjumlah RM4.2 juta,” katanya pada sidang media selepas bersiaran di segmen Apa Khabau YB Melaka FM, semalam.
Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, meskipun pelbagai pendekatan dan usaha dilakukan PDRM serta Kerajaan Negeri, namun kesedaran masyarakat masih rendah apabila mudah terpedaya dengan tawaran yang dijanjikan.
“Masyarakat diingatkan supaya jangan mudah percaya apabila ditawarkan dengan sebarang tawaran lumayan malah perlu mendapatkan pandangan serta nasihat orang terdekat sebelum membuat sebarang keputusan.
“Ini kerana kita dapati ‘scammer’ ini tidak mudah berputus asa dan akan terus cuba mendekati sasaran sehingga mangsa terjerat.
“Malah mereka ini juga amat licik kerana menggunakan pelbagai helah dan modus operandi supaya dapat menipu mangsa termasuklah membabitkan urusan jual beli seekor kucing melibatkan kos ribuan ringgit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.