SBST: Melaka tambah baik waktu, laluan bas domestik

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER LIMAU 13 Mei – Perkhidmatan bas domestik di negeri ini telah ditambah baik menerusi inisiatif Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) yang bermula 1 Mei lalu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, walaupun terdapat sedikit kelemahan pada permulaan inisiatif berkenaan, namun Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, antara langkah yang diambil ialah menstruktur semula tiga laluan dan waktu perjalanan bas berkenaan bagi membantu pelajar sekolah pada waktu pagi.

“Antara langkah segera yang diambil bagi membantu pelajar sekolah ialah memulakan perjalanan bas seawal jam 6 pagi dari hentian bas Masjid Tanah ke Bandar Melaka yang melalui Gajah Behrang, di mana perubahan ini bagi trip pertama sahaja, manakala untuk trip kedua ia akan mengikut laluan dan waktu asal yang ditetapkan.

“Selain itu, perubahan waktu dan laluan juga turut dilakukan bagi perjalanan dari Rembia ke Alor Gajah dan juga Alor Gajah ke Tampin yang masing-masing akan bermula pada jam 6.45 pagi.

“Tiga laluan ini merupakan antara isu berbangkit membabitkan anak-anak ke sekolah yang perlu diambil tindakan segera kepada operator terlibat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1706936840
EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Pengangkutan Negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Hameed memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menyelaras keseluruhan laluan membabitkan inisiatif SBST di negeri ini.

“Selain pelajar sekolah, ada beberapa lagi isu berbangkit membabitkan orang ramai yang perlu diselesaikan, antaranya mewujudkan laluan bas ke Hospital Melaka.

“Namun, kita akan mendapatkan kebenaran dan kelulusan APAD untuk kita selesaikan semula keseluruhan laluan bagi memudahkan rakyat yang menggunakan pengangkutan awam di negeri ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1832
Kongsi :
Previous post Siasat punca Limbongan ‘dilanggar’ sampah
Next post ‘Alhamdulillah saya selamat’ – KM Melaka
Ubah saiz-+=